Part 5 - Advisory on Performing Funeral Prayers during COVID-19 (Malay)

IRSYAD (PANDUAN AGAMA)

 PELAKSANAAN SOLAT JENAZAH SEMASA PENULARAN COVID-19

1. Pihak Kementerian Kesihatan (MOH) telah membuat pengumuman terkini mengenai langkah-langkah lebih ketat dalam usaha mengawal penularan virus COVID-19. Langkah-langkah utama adalah memastikan (1) jarak fizikal sekurang-kurangnya satu meter antara satu sama lain; (2) setiap perhimpunan (di luar sekolah atau kerja) tidak melebihi 10 orang.1

2. Oleh itu, pelaksanaan solat jenazah masih boleh dilaksanakan, namun dengan penyesuaian agar ia tidak menjadi sebab penularan virus, berpandukan garis pandu di atas. Firman Allah s.w.t. dalam surah al-Taghabun, ayat 16:

فَاتَّقُوا اللَّهَ مَا اسْتَطَعْتُمْ

Yang bermaksud: “..Maka bertaqwalah kamu kepada Allah semampu kamu...”.

3. Secara amnya, kami menasihati agar langkah-langkah berikut dipatuhi:

a)         Solat jenazah ditunaikan di dalam rumah selagimana terdapat ruang yang mencukupi untuk menunaikannya.

b)         Elakkan solat jenazah di tempat awam seperti di bawah blok untuk mengelakkan percampuran jemaah dengan orang awam lain. 

c)         Pastikan jarak fizikal sekurang-kurangnya satu meter antara jemaah bersebelahan dan di antara saf.

d)         Hadkan setiap solat kepada 10 orang sahaja.

e)         Solat jenazah boleh diadakan berulang kali sekiranya mereka yang datang melebihi 10 orang. Ia boleh diimamkan oleh imam lain atau imam yang sama bagi setiap jemaah.2

f)           Pastikan mereka yang menantikan giliran untuk mendirikan solat jenazah menjaga jarak fizikal yang selamat di antara satu sama lain.

g)         Nasihatkan mereka yang tinggal jauh atau kurang sihat untuk tidak menyertai pengurusan atau solat jenazah. Mereka boleh menunaikan solat jenazah ghaib3 di rumah atau di tempat masing-masing.4 Diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a.:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم نَعَى النَّجَاشِيَّ فِي الْيَوْمِ الَّذِي مَاتَ فِيهِ، خَرَجَ إِلَى الْمُصَلَّى، فَصَفَّ بِهِمْ وَكَبَّرَ أَرْبَعًا

Yang bermaksud: “Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. memberitahu akan berita kematian al-Najasyi ketika hari kematiannya. Baginda s.a.w. keluar ke tempat solat, membuat saf dan bertakbir sebanyak empat kali.5

h)         Tetapkan had mereka yang menguruskan jenazah di tanah perkuburan kepada 10 orang sahaja bagi memastikan jarak fizikal yang selamat di antara satu sama lain dapat dikekalkan dan untuk mengelakkan dari berlakunya kesesakan di tanah perkuburan.

i)             Sekiranya ahli keluarga ingin membaca tahlil setelah selesai pengebumian, pastikan agar mereka yang menyertai bacaan tahlil tersebut tidak melebihi 10 orang, dengan menjaga jarak antara mereka.

4. Segala langkah tersebut perlu diberi perhatian. Ia merupakan langkah pencegahan demi memastikan keselamatan orang ramai, serta membendung penularan wabak ini daripada berterusan. Pada saat dan ketika ini, kita digalakkan untuk memperbanyakkan berdoa sendirian untuk kebaikan jenazah.

 

27 Mac 2020,

Pejabat Mufti
Majlis Ugama Islam Singapura



 

[1] https://www.moh.gov.sg/news-highlights/details/tighter-measures-to-minimise-further-spread-of-covid-19

[2] Di sisi mazhab al-Shafie, terdapat beberapa pendapat berkaitan sama ada seseorang yang telah melaksanakan solat jenazah itu boleh mengulangi solat jenazah tersebut mengikuti jemaah yang berikutnya. Ada ulama Syafieyah yang membenarkan dan ada yang berpendapat sebaliknya. Sila lihat: Al-Nawawī, Al-Majmū’, juz 5, hlmn 246.

[3] Bagaimana menunaikan Solat Al-Ghayb?

Tatacara melaksanakan solat jenazah ghaib adalah sama seperti solat jenazah biasa, Cuma ia berbeza dari segi niat, kerana jenazah tidak ada di hadapan. Dari itu seseorang yang ingin menunaikan solat jenazah ghaib, perlu 1) menghadap kearah kiblat, 2) lalunya menanam niat bahawa beliau bakal mendirikan solat jenazah ghaib; 3) Kemudian memulakan solat jenazah ghaib dengan takbir, sepertimana biasa.

[4] Al-Nawawī, Al-Majmū’, juz 5, hlmn. 250-253.

[5] Al-Bukhārī, Saḥīḥ al-Bukhārī, hadis no.: 1245.