Part 7 - Advisory on Online Marriage Solemnization (Malay)

IRSYAD (PANDUAN AGAMA)

AKAD NIKAH SECARA DALAM TALIAN (ONLINE)

Pendahuluan

1. Pejabat Mufti menerima soalan dari Pejabat Pernikahan Orang Islam (ROMM) pada 8 April 2020, berkaitan sama ada akad nikah boleh dijalankan secara virtual, melalui persidangan video (video conferencing), ketika keadaan tidak mengizinkan perlaksanaan majlis akad pernikahan secara fizikal, seperti pada waktu penularan wabak

Pendapat Agama

2. Pendapat agama berdasarkan hukum Islam, adalah akad nikah secara virtual dibolehkan selagimana segala syarat sah pernikahan dapat dipastikan.[1] Secara dasar, penggunaan persidangan video bagi upacara pernikahan ataupun proseding penceraian merupakan suatu urusan pantadbiran yang tidak meningalkan kesan kepada kesahihan upacara tersebut. Jawatankuasa Fatwa pada keputusan fatwa tahun 1999 telah membenarkan penggunaan kaedah persidangan video bagi membicarakan permohonan cerai si isteri dan mensabitkan lafaz talak suami yang berada di penjara, tanpa perlu si suami hadir ke mahkamah.[2]

3. Mengambil kira situasi sekarang ini, dengan langkah-langkah jarak selamat yang perlu diperhatikan bagi mengawal penularan COVID-19, Pejabat Mufti berpandangan bahawa Pejabat Pendaftar Pernikahan orang Islam (ROMM) boleh mengendalikan upacara pernikahan melalui persidangan video, apabila ada keperluan kepadanya, selagimana dapat dipastikan bahawa segala pensyaratan yang ditetapkan dalam hukum Islam berkaitan kesahihan akad pernikahan itu dipenuhi. Termasuklah pengesahan identiti pihak-pihak yang terlibat, juga untuk memastikan tiada bantahan dan/ataupun halangan bagi pernikahan tersebut, sepertimana yang telah ditetapkan dalam perundangan Islam.

24 April 2020

PEJABAT MUFTI
MAJLIS UGAMA ISLAM SINGAPURA



[1] Sheikh Wahbah al-Zuhayli berpandangan bahawa segala jenis akad, termasuk akad nikah, boleh dijalankan melalui kaedah talipon ataupun secara virtual melalui internet, selagimana lafaz ijab dan qabul oleh wali nikah dan pengantin lelaki itu jelas serta tidak disunting, dipalsukan atau tiada penipuan, dan pengantin perempuan tidak merahsiakan pernikahannya dari walinya. Sila lihat: Majma’ al-Fiqh al-Islāmī al-Duwalī, Majallah Majma’ al-Fiqh al-Islāmī, juz 6, hlmn. 669

[2] Keputusan Fatwa MUIS, 3 November 1999. Pada tahun 2011, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Malaysia telah menetapkan bahawa sekiranya terdapat halangan untuk melakukan akad nikah di tempat yang ditentukan, akad pernikahan melalui kaedah persidangan video (video conferencing) adalah diharuskan selagimana majlis berlangsung secara yakin, dengan tidak ada unsur penipuan, serta menepati segala rukun dan syarat sah nikah, dengan dijalankan oleh walinya sendiri. Sila lihat: http://e-smaf.islam.gov.my/e-smaf/fatwa/fatwa/find/pr/10288