- Home
- Resources
- Khutbah and religious advice
- Fatwa
- Fatwa berkaitan pemeliharaan janggut
Fatwa berkaitan pemeliharaan janggut
Panduan Nabi berkaitan pemeliharaan janggut merupakan panduan keagamaan serta galakan. Seseorang Muslim boleh memilih pendapat fiqh ia adalah sunnah mengambil kira perbezaan pandangan. Jawatankuasa Fatwa menasihati anggota Perkhidmatan Negara memilihi pandangan ini untuk mematuhi polisi keseragaman.
AKTA PENTADBIRAN HUKUM ISLAM
(BAB 3, BAHAGIAN 32)
FATWA YANG DIKELUARKAN
OLEH
JAWATANKUASA FATWA, MAJLIS UGAMA ISLAM SINGAPURA
Jawatankuasa Fatwa telah membincangkan soalan yang diterima daripada Pejabat Mufti pada mesyuarat fatwa pada 26 September 2017 dan 7 November 2017.
FATWA
بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله رب العالمين ، والصلاة والسلام على سيد المرسلين وإمام المتقين نبينا محمد وعلى آله وأصحابه أجمعين. اللهم أرنا الحق حقا وارزقنا اتباعه، وأرنا الباطل باطلا وارزقنا اجتنابه، وبعد.
LATAR BELAKANG
1. Jawatankuasa Fatwa telah menerima soalan daripada Pejabat Mufti pada tarikh 26 September 2017 berkenaan panduan agama yang wajar diberikan kepada anggota Perkhidmatan Negara yang ingin menyimpan janggut atas sebab agama.
PERTIMBANGAN JAWATANKUASA FATWA
2. Jawatankuasa Fatwa mempertimbangkan soalan ini, dan melihatnya daripada beberapa perspektif iaitu:
a) Memahami teks hadith berkaitan pemeliharaan janggut.
b) Perbezaan pendapat ulama.
c) Pertimbangan konteks yang berbeza.
a) Memahami teks hadith
3. Terdapat beberapa teks hadith yang menyatakan tentang pemeliharaan janggut seperti berikut:
عن ابن عمر رضي الله عنهما أن رسول الله صلى الله عليه وآله وسلم قال:"خَالِفُوا الْمُشْرِكِينَ؛ أَحْفُوا الشَّوَارِبَ، وَأَوْفُوا اللِّحَى".
Yang bermaksud: Daripada Ibn Umar (ra) bahawa Rasulullah (s.a.w) bersabda; “Janganlah kamu menyerupai orang-orang musyrikin, tipiskan misai kamu dan peliharalah janggut kamu.”1
عن أم المؤمنين عائشة رضي الله عنها أنها قالت: قال رسول الله صلى الله عليه وآله وسلم: «عَشْرٌ مِنَ الْفِطْرَةِ: قَصُّ الشَّارِبِ، وَإِعْفَاءُ اللِّحْيَةِ، وَالسِّوَاكُ، وَاسْتِنْشَاقُ الْمَاءِ، وَقَصُّ الْأَظْفَارِ، وَغَسْلُ الْبَرَاجِمِ، وَنَتْفُ الْإِبِطِ، وَحَلْقُ الْعَانَةِ، وَانْتِقَاصُ الْمَاءِ» أي: الاستنجاء، قال مصعب -أحد رواة الحديث-:” وَنَسِيتُ الْعَاشِرَةَ، إِلَّا أَنْ تَكُونَ الْمَضْمَضَةَ.“
Yang bermaksud: Diriwayatkan daripada Ummul Mukminin ‘Aisyah (ra) Rasulullah (saw) bersabda: “Sepuluh perkara yang fitrah: menipiskan misai, memanjangkan janggut, bersiwak (menggosok gigi), menghirup air ke hidung, memotong kuku, membasuh sela-sela jari, mencabut bulu ketiak, mencukur bulu kelamin, bersuci dengan air (berisitnjak).” Kemudian Muṣ’ab - salah seorang daripada perawi hadith ini - mengatakan: “Aku lupa yang kesepuluh tapi yang jelas adalah rajin berkumur.”2
4. Hadith-hadith berkenaan memberikan gambaran bahawa pemeliharaan janggut merupakan amalan yang dianjurkan Islam. Meskipun begitu, Jawatankuasa Fatwa melihat kepada keperluan untuk meneliti maksud dan pemahaman hadith-hadith tersebut. Antaranya seperti teks hadith Ibn ‘Umar yang sebenarnya merupakan saranan Nabi s.a.w. untuk seorang mukmin memiliki identitinya yang tersendiri dan membezakan ketrampilannya daripada mereka yang beragama lain. Hadith ini memberikan satu petanda bahawa ia - memelihara janggut - bukanlah hukum yang wajib kerana membezakan ketrampilan diri (dari sudut pemakaian, penampilan, ketrampilan dan sebagainya) bukanlah satu perkara yang wajib. Ini disokong oleh hadith Nabi s.a.w. yang lain dimana Baginda s.a.w. mendorong kaum muslimin untuk mendirikan solat dengan menggunakan sepatu/sandal untuk membezakan daripada masyarkat yang beragama lain pada ketika itu.3 Ulama bersepakat bahawa perintah ini hanyalah dorongan semata-mata dan bukannya perintah yang mewajibkan penggunaan sepatu/sandal ketika solat.
5. Tambahan lagi, hadith yang diriwayatkan ‘Aisyah r.a. berkenaan pemeliharaan janggut dan bagaimana ia merupakan salah satu di antara sepuluh perkara yang dianggap sebagai fitrah (suci/bersih) seperti memotong kuku, menipiskan misai dan sebagainya menunjukkan bahawa hukum memelihara janggut bukanlah wajib sepertimana penjagaan sepuluh perkara yang dianggap fitrah tersebut bukanlah satu perkara yang wajib.
b) Perbezaan pendapat ulama
6. Jawatankuasa Fatwa mempertimbangkan pendapapat-pendapat ulama mengenai isu ini. Terdapat ulama daripada mazhab Ḥanafī, Mālikī, Shāfiʿī dan Ḥanbalī yang berpendapat bahawa mencukur janggut tidak dibenarkan di dalam Islam. Sebagai contoh, teks daripada ulama mazhab Ḥanafī menyatakan bahawa:
يحرم على الرجل قطع لحيته
Yang bermaksud: “Diharamkan ke atas lelaki memotong janggutnya."4
Juga teks daripada ulama mazhab Mālikī yang menyatakan bahawa:
يحرم إزالة شعر اللحية
Yang bermaksud: “Diharamkan menghilangkan janggut."5
Juga teks daripada ulama mazhab Shāfiʿī yang menyatakan bahawa:
وقال الحليمي الشافعي لا يحل لأحد أن يحلق لحيته.
Yang bermaksud: “Berkata Al-Ḥalīmī As-Shāfiʿī: Tidak halal bagi seseorang untuk mencukur janggutnya."6
Juga teks daripada ulama mazhab Ḥanbalī yang menyatakan bahawa:
والمعتمد في المذهب: حرمة حلق اللحية.
Yang bermaksud: “Dan yang muktamad di dalam mazhab: Haram mencukur janggut.7
7. Walaubagaimanapun, terdapat juga pendapat-pendapat ulama mazhab Shāfiʿī8 yang melihat perbuatan mencukur janggut sebagai makruh dan bukannya haram. Sebagai contoh:
حلق لحية الرجل ونتفها مكروه لا حرام.
Yang bermaksud: “Mencukur dan mencabut janggut untuk lelaki adalah makruh bukan haram."9
8. Sebahagian ulama kontemporari seperti Sheikh Jād Ul-Ḥāq ʿAlī Jād Ul-Ḥāq10, Sheikh Rashīd Reḍā11, Sheikh Maḥmūd Shaltūt12, Sheikh Muhammad Abū Zuhrah13, Dr Yūsuf Al-Qaraḍāwī14, Mufti Wilayah Persekutuan15 (KL, Malaysia) dan Sheikh ‘Alī Gomaa16 (Mantan Mufti Mesir) berpendapat bahawa hukum pemeliharaan janggut adalah sunnah dan bukan wajib, kerana ia merupakan sebahagian daripada amalan adat dan sunnah Nabi s.a.w. Mereka juga berpendapat bahawa perintah untuk memelihara janggut pada hadith-hadith Nabi s.a.w. merupakan dorongan serta panduan. Sheikh ‘Alī Gomaa juga menambah bahawa amalan memelihara janggut merupakan sebahagian daripada adat kaum Arab.17 Justeru itu, sekiranya seseorang itu diiuji dengan kesusahan dan kesulitan untuk mengamalkan sesuatu amalan agama yang dikhilafkan ulama, beliau diharuskan untuk mengikuti pendapat yang membenarkan pelaksanaannya.18
c) Pertimbangan konteks yang berbeza
9. Jawatankuasa Fatwa juga mempertimbangkan konteks persoalan termasuk polisi yang diterapkan ke atas anggota Perkhidmatan Negara dan arahan untuk mematuhi polisi dan peraturan penampilan dan seragam.
10. Jawatankuasa Fatwa berpendapat bahawa perbezaan konteks seperti tempat dan masa, harus dipertimbangkan agar memastikan kemaslahatan diraih dan kemudaratan ditegah, sepertimana yang dijelaskan oleh Sheikh Mahmūd Shaltūt:
والحَقُّ أن أمر اللباس والهيئات الشخصية -ومنها حلق اللحية- من العادات التي ينبغي أن يَنزِل المرءُ فيها على استحسان البيئة، فمن درجت بيئته على استحسان شيء منها كان عليه أن يساير بيئته، وكان خروجه عما أَلِف الناس فيها شذوذًا عن البيئة.
Yang bermaksud: “Dan sebenarnya perkara pakaian dan penampilan individu – seperti mencukur janggut – adalah adat kebiasaan yang seharusnya seorang itu turuti berdasarkan apa yang dilihat baik oleh persekitarannya. Oleh itu sesiapa yang persekitarannya menjurus kepada keelokan sesuatu perkara maka hendaklah dia menyesuaikan dirinya selari dengan persekitarannya itu. Perbuatannya untuk menyelisihi apa yang telah biasa diamalkan masyarakat merupakan penyimpangan daripada kebiasaan persekitarannya.”19
KEPUTUSAN JAWATANKUASA FATWA
11. Berdasarkan penafsiran Jawatankuasa Fatwa pada hadith-hadith berkaitan pemeliharaan janggut, serta setelah mengambil kira pendapat ulama terdahulu dan terkini, Jawatankuasa Fatwa berpendapat bahawa ajaran Nabi s.a.w. berkaitan pemeliharaan janggut merupakan suatu panduan keagamaan serta galakan yang tidak membawa hukum wajib.
12. Memandangkan tiada kesepakatan (ijma’) ulama dalam permasalahan ini, kaum Muslimin boleh memilih pendapat yang memberi huraian serta jalan keluar, iaitu pendapat yang menetapkan bahawa pemeliharaan janggut tidaklah wajib di sisi Islam. Ini berdasarkan sebuah kaedah fiqh yang menyatakan:
لا يُنْكَرُ المختَلَفُ فيه، وإنما يُنكَرُ المُجْمَعُ عليه
Yang bermaksud: “Tidak diingkari [melaksanakan] perbuatan yang diperselisihkan (hukum haramnya) dan sesungguhnya yang diingkari ialah [melaksanakan perbuatan] yang telah disepakati (hukum haramnya).”20
13. Dengan mengambil kira polisi keseragaman yang diwajibkan ke atas anggota kumpulan beruniform, Jawatankuasa Fatwa menasihati agar setiap anggota Perkhidmatan Negara memilih pandangan yang membolehkan mereka mencukur janggut sepanjang tempoh perkhidmatan.
الله أعلم ، وبالله التوفيق ، وصلى الله على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم.
DR MOHAMED FATRIS BIN BAKARAM
PENGERUSI, JAWATANKUASA FATWA
MUFTI NEGARA SINGAPURA
MAJLIS UGAMA ISLAM SINGAPURA
[1] Hadis ini dinyatakan dalam konteks sejarah di mana terdapat keperluan bagi masyarakat Islam yang baru untuk membezakan diri mereka secara fizikal untuk menegaskan identiti mereka dan dapat diperhatikan. Al-Bukhārī, Saḥīḥ al-Bukhārī, Dār Ṭūq an-Najāḥ, Juz 7, hlmn 160.
[2] Muslim, Ṣaḥīḥ Muslim, Dār Iḥyā’ al-Turāth al-‘Arabī, Juz 1, hlmn 223.
[3] رواه أبو داود عن شداد بن أوس -رضي الله عنه- أن رسول الله -صلى الله عليه وسلم- قال:خالفوا اليهود فإنهم لا يصلون في نعالهم، ولا خفافهم
Yang bermaksud: “Diriwayatkan oleh Abu Daud daripada Shaddad bin Aus (ra) bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda:"Berbezalah kamu daripada orang-orang yahudi. Sesungguhnya mereka solat dengan tidak memakai sandal dan sepatu". Abū Dāwūd, Sunan Abī Dāwūd, Al-Maktabah al-‘Aṣriyyah, Juz 1, hlmn 176.
[4] Al-Ḥaṣkafī al-Ḥanafī, Al-Dur al-Mukhtār, Dār al-Kutub al-‘Ilmiyyah, Juz 6, hlmn 407.
[5] ʿAlī bin Aḥmad bin Mukrim al-‘Adawī, Hāshīyāh al-‘Adawī ‘alā al-Kifāyāh al-Ṭālib al-Rabbānī, Dār al-Fikr, Juz 2, hlmn 446.
[6] Sirāj Al-Dīn Abū Ḥafṣ ‘Umar bin ‘Alī Ibn Mulaqqīn, Al-‘Ilām bi Fawāid ‘Umdah al-Aḥkām, Dār Al-‘Āṣimah, Juz 1, hlmn 711.
[7] Muḥammad bin Aḥmad bin Sālim Al-Saffārīnī, Ghudhā’ al-Albāb fī Sharḥ Manẓūmah al-Adāb, Dār al-Kutub al-ʿIlmiyyah, Juz 1, hlmn 334.
[8] Sheikh Zakariyyā al-Anṣarī, Imām Ibn Ḥajar al-Ḥaītamī, Imām Shihāb Al-Ramlī, Khaṭīb al-Shirbīnī.
[9] Imām Shihāb Al-Ramlī, Fatāwā Shihāb Al-Ramlī, Maktabāh al-Islāmiyyah, Juz 4, hlmn 69.
[10] Dār al-Iftā’ al-Miṣrīyyāh, Fatāwā Dār al-Iftā’ al-Miṣriyyah, Juz 2, hlmn 166. Sila lihat: http://shamela.ws/browse.php/book-432/page-666
[11] Rashīd Riḍā, Majallah al-Manār, Juz 22/7/14/31, hlmn 426/733/29/442.
[12] Mahmūd Shaltūt, Al-Fatāwā, Dār al-Shurūq, hlmn 229.
[13] Muḥammad Abū Zuhrah, Uṣūl al-Fiqh, Dār al-Fikr, hlmn 115.
[14] Yūṣuf al-Qarḍāwī, Al-Ḥalāl wa al-Ḥarām fī al-Islām, Maktabāh Wahbah, hlmn 85.
[15] Sila lihat: http://www.muftiwp.gov.my/index.php/ms-my/perkhidmatan/irsyad-fatwa/1551-irsyad-al-fatwa-siri-ke-190-hukum-mencukur-janggut-atas-arahan-majikan
[16] Sila lihat: http://www.draligomaa.com
[17] Sila lihat: http://www.draligomaa.com
[18] Teks penuh bahasa Arab adalah seperti berikut:
ومع هذا كله فإننا نضيف أن من كان من هؤلاء الأفراد له قناعة شخصية بوجوب اللحية؛ اتباعًا لمن قال بهذا من العلماء، فإنه والحالة هذه يتأكد عليه أن يقلد قول القائلين بالكراهة؛ ليتخلص من الشعور النفسي بالإثم؛ لما تقرر من أن من ابتلي بشيء من المختلف فيه فإنه يقلد من أجازه من أهل العلم؛ تخلصًا من الحرمة،
Yang bermaksud: “Sejajar dengan semua ini, kami menambah bahawa individu-individu yang mempunyai keyakinan peribadi berkenaan hukum wajib menyimpan janggut berasaskan pendapat-pendapat ulama yang mengatakan sedemikian, maka seharusnya dia – dan keadaan ini memastikan ke atasnya untuk- mengambil pendapat yang mengatakan makruh (mencukur janggut) untuk melepaskan diri daripada perasaan berdosa berdasarkan apa yang telah ditetapkan bahawa barangsiapa yang diuji dengan sesuatu perkara yang dikhilafkan (hukumnya) maka hendaklah dia mengikut pendapat ahli ilmu yang membenarkannya untuk mengelak daripada melakukan perbuatan haram.” Sila lihat: http://www.draligomaa.com
[19] Mahmūd Shaltūt, Al-Fatāwā, Dār al-Shurūq, hlmn 229.
[20] Al-Suyūṭī, Al-Ashbāh wa Al-Naẓāir, Dār al-Kutub al-‘Ilmiyyah, hlmn 158.