Hukum menggunakan vape
Jawatankuasa Fatwa memfatwakan penggunaan segala jenis vape dan Kpod adalah haram, selari dengan fatwa pengharaman rokok. Ini berdasarkan (i) prinsip syariah yang melarang segala perkara yang memudaratkan dan (ii) tujuan syariah dalam memelihara nyawa dan akal.
بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على سيد المرسلين وإمام المتقين نبينا محمد وعلى آله وأصحابه أجمعين. اللهم أرنا الحق حقا وارزقنا اتباعه، وأرنا الباطل باطلا وارزقنا اجتنابه وبعد.
Latar belakang
1. Jawatankuasa Fatwa menerima soalan daripada Pejabat Mufti dan juga beberapa anggota masyarakat berkaitan hukum penggunaan vape dan Kpod yang telah berleluasa kebelakangan ini dan telah menimbulkan keprihatinan dari pelbagai pihak dan sudut.1 Walaupun ia telah diharamkan dari segi undang-undang negara, namun fatwa masih perlu dikeluarkan agar tidak ada sebarang kekeliruan dan keraguan berkaitan hukum vape dari segi agama.
Kemudaratan vape
2. Vape adalah sejenis rokok elektronik (e-cigarettes), manakala Kpod adalah vape yang diubah suai dan dicampur dengan dadah sintetik.2 Sebahagian vape juga menggunakan bahan etomidate3 yang dikategorikan oleh pemerintah pada 2025 sebagai dadah Kelas C di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah.4 Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengisytiharkan bahawa rokok elektronik memudaratkan dan berbahaya kepada kesihatan, kerana is merosakkan kesihatan kardiovaskular dan menyebabkan kerosakan DNA,5 barah, serangan jantung,6 dan penyakit paru-paru.7
3. Oleh kerana vape boleh mengandungi nikotin,8 ia juga menyebabkan ketagihan yang membawa pelbagai kesan buruk terhadap keluarga dan masyarakat.9 Kandungan nikotin di dalamnya juga menjejas mereka yang terdedah kepada asapnya.10 Apabila dihidu secara aktif mahupun pasif, nikotin merosakkan perkembangan otak di kalangan kanak-kanak dan remaja11 serta mengancam kesihatan janin di dalam rahim.12 Penggunaan vape yang mengandungi etomidate boleh menyebabkan kesukaran bernafas, sawan dan psikosis. Beberapa kematian telah dikaitkan dengan penyalahgunaan bahan tersebut.13
4. Penggunaan vape yang semakin meningkat beberapa tahun kebelakangan ini menimbulkan kesan yang buruk bagi masyarakat secara amnya. Ia menjejas institusi kekeluargaan dengan mengakibatkan masalah ketagihan yang serius,14 keganasan dalam keluarga, serta beban kewangan. Laporan juga menunjukkan terdapat penggunaan vape di kalangan pelajar,15 lantas menjejas pembangunan intelek serta masa depan mereka. Gejala vape boleh mengancam kestabilan dan kemajuan masyarakat secara keseluruhan pada masa hadapan, jika tidak ditangani dengan serius dan cermat.
Pertimbangan Jawatankuasa Fatwa
5. Jawatankuasa Fatwa telah membincangkan isu vape dan Kpod dengan mengambil kira: (i) kaedah dalam syariah yang melarang segala perkara yang memudaratkan dan (ii) maqāṣid al-sharīʿah yang merangkumi pemeliharaan agama (hifẓ al-dīn), pemeliharaan nyawa (hifẓ al-nafs), pemeliharaan akal (hifẓ al-ʿaql), pemeliharaan keturunan (hifẓ an-nasl), dan pemeliharaan harta (hifẓ al-māl).
6. Agama melarang segala perkara atau perbuatan yang memudaratkan diri, akal, dan nyawa. Firman Allah ﷻ:
﴿وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ﴾
Yang bermaksud: “Dan janganlah kamu mencampakkan diri kamu dengan tangan kamu sendiri ke dalam kebinasaan.” (Surah al-Baqarah: 195)
Dalam menafsirkan ayat ini, Ibn ʿĀshūr menjelaskan:
وُقُوعُ فِعْلِ تُلْقُوا فِي سِيَاقِ النَّهْيِ يَقْتَضِي عُمُومَ كُلِّ إِلْقَاءٍ بِالْيَدِ لِلتَّهْلُكَةِ أَيْ كُلِّ تَسَبُّبٍ فِي الْهَلَاكِ عَنْ عَمْدٍ فَيَكُونُ مَنْهِيًّا عَنْهُ مُحَرَّمًا
Yang bermaksud: “Penggunaan lafaz 'tulqū' dalam larangan ini merangkumi segala bentuk perbuatan yang menyebabkan kebinasaan diri secara sengaja, justeru ia adalah dilarang dan haram...”16
Adalah jelas juga bahawa setiap kemudaratan mesti dijauhi dan dielakkan, seperti dalam kaedah fiqh:
الضَّرَرُ يُزَال
Yang bermaksud: “Setiap kemudaratan mesti dielakkan atau dihapuskan.”17
7. Di dalam Islam, pemeliharaan nyawa (hifẓ al-nafs) dan akal (hifẓ al-ʿaql) merupakan di antara tujuan Syariah (Maqāṣid al-Sharīʿah).18 Oleh itu, vape yang membahayakan nyawa dan merosakkan kewarasan akal bertentangan dengan prinsip dan ajaran syarak. Pemeliharaan nyawa juga merangkumi penjagaan kesihatan, kerana kesihatan merupakan amanah Allah ﷻ dan tanggungjawab setiap Muslim. Ibn Qayyim menyatakan:
لما كانت الصحة والعافية من أجل نعم الله على عبده، وأجزل عطاياه وأوفر منحه، بل العافية المطلقة أجل النعم على الإطلاق، فحقيق لمن رزق حظا من التوفيق مراعاتها وحفظها وحمايتها عما يضادها
Yang bermaksud: “Memandangkan kesihatan dan kesejahteraan adalah antara nikmat Allah yang paling agung kepada hamba-Nya, malah kesejahteraan mutlak adalah nikmat yang paling agung sama sekali, maka sepatutnya bagi sesiapa yang diberi taufiq untuk memelihara, menjaga, dan melindunginya daripada segala yang boleh merosakkannya.”19
8. Islam juga melarang segala perkara yang membahayakan orang lain. Kerana syarak bukan hanya menumpukan kepada kesihatan dan kesejahteraan individu, tetapi menitikberatkan kesan terhadap orang lain.20 Ini berpandukan hadis Nabi Muhammad ﷺ:
لاَ ضَرَرَ وَلاَ ضِرَارَ
Yang bermaksud: “Tidak boleh ada kemudaratan dan tidak boleh memudaratkan.”21
9. Berdasarkan dalil syarak dan kaedah-kaedah fiqh di atas, serta hasil kajian dan laporan terkini mengenai vape, adalah jelas bahawa vape menimbulkan pelbagai bentuk kemudaratan yang mesti dielakkan. Ini merangkumi (i) kemudaratan terhadap kesihatan fizikal; (ii) kemudaratan terhadap kesejahteraan akal dan mental; dan (iii) kemudaratan terhadap keluarga dan masyarakat. Atas dasar-dasar in juga, penggunaan vape atau rokok elektronik juga telah difatwakan haram oleh beberapa institusi fatwa antarabangsa.22
Keputusan Jawatankuasa Fatwa
10. Mengambil kira pertimbangan serta prinsip-prinsip syarak, Jawatankuasa Fatwa menetapkan keputusan berikut:
i) Penggunaan segala jenis vape dan Kpod adalah haram dari segi agama, sesuai dengan penekanan syarak dalam mengelakkan kemudaratan dan memelihara kesejahteraan individu dan masyarakat;
ii) Umat Islam wajib menjauhkan diri daripada segala aktiviti yang menyebabkan kemudaratan kepada diri sendiri dan orang lain, dan seharusnya menyumbang secara positif kepada pemeliharaan kebajikan manusia. Larangan ini bukan sahaja selari dengan fatwa pengharaman rokok oleh Jawatankuasa Fatwa Singapura pada tahun 2006, malah dibuat dengan mengambil kira kemudaratan vape yang lebih serius.23
11. Jawatankuasa Fatwa menyeru semua pihak untuk bersama memainkan peranan dalam pencegahan dan pemulihan mereka yang terlibat dengan gejala vape dengan penuh keprihatinan, di samping menggalakkan mereka untuk mendapatkan bantuan profesional melalui perkhidmatan sokongan yang tersedia dalam masyarakat. Dengan sokongan keluarga, masyarakat, dan bantuan profesional yang sesuai, setiap individu mampu pulih dan kembali kepada kehidupan yang sihat dan sejahtera.
والله أعلم
والله ولي التوفيق، وصلى الله على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم.
Bertarikh 4 haribulan Disember 2025 bersamaan 13 Jamadilakhir 1447H
DR NAZIRUDIN MOHD NASIR
PENGERUSI, JAWATANKUASA FATWA
MUFTI NEGARA SINGAPURA
1 Mereka yang sabit kesalahan boleh dikenakan denda atau hukuman penjara di bawah Akta Tembakau (Kawalan Iklan dan Jualan) di bawah pentadbiran Lembaga Sains Kesihatan (Health Science Authority, HSA). Sila lihat: HSA, Vaping Enforcement, 2025. Sila lihat: https://www.hsa.gov.sg/tobacco-regulation/vaping-enforcement
2 Lihat nota kaki 1 di atas; lihat juga National Addictions Management Service (NAMS), Etomidate-laced Vaping,
https://www.nams.sg/helpseekers/Smoking%20and%20Vaping/Pages/Etomidate-laced-Vaping.aspx
3 Etomidate pada asalnya, merupakan bahan perubatan (pelali) yang digunakan untuk membuat pesakit tidak sedar diri (anaesthetic agent) dan diklasifikasikan sebagai racun di bawah Akta Racun (Poisons Act).
4 Lihat nota kaki 1 di atas.
5 Auschwitz, Emily et al., Mechanisms of E-Cigarette Vape-Induced Epithelial Cell Damage, Cells vol. 12, 21 2552, 2023; Tommasi, Stella et al. Vaping Dose, Device Type, and E-Liquid Flavor are Determinants of DNA Damage in Electronic Cigarette Users. Nicotine & tobacco research: official journal of the Society for Research on Nicotine and Tobacco vol. 25,6 (2023): 1145-1154; Berita Harian, Bahaya tersembunyi di sebalik wap vape, 2025, sila lihat: https://www.beritaharian.sg/singapura/kesihatan/bahaya-tersembunyi-di-sebalik-wap-vape
6 Tsai M, Byun MK, Shin J, Crotty Alexander LE. Effects of e‐cigarettes and vaping devices on cardiac and pulmonary physiology. The Journal of Physiology, 2020.
7 Kosmider L, Cox S, Zaciera M, Kurek J, Goniewicz ML, McRobbie H et al. Daily exposure to formaldehyde and acetaldehyde and potential health risk associated with use of high and low nicotine e-liquid concentrations. Scientific Reports, 2020.
8 Taylor A, Dunn K, Turfus S. A review of nicotine‐containing electronic cigarettes—trends in use, effects, contents, labelling accuracy and detection methods. Drug testing and analysis. 2021.
9 The Straits Times, ‘Kpods broke our marriage, shattered our children’: Woman on husband’s vape addiction, 2025. Sila lihat: https://www.straitstimes.com/singapore/kpods-broke-our-marriage-shattered-our-children-woman-on-husbands-vape-addiction
10 World Health Organization, WHO report on the global tobacco epidemic, 2021.
11 Centers for Disease Control and Prevention, Quick facts on the risks of e-cigarettes for kids, teens, and young adults, 2020.
12 Froggatt S, Reissland N, Covey J. The effects of prenatal cigarette and e-cigarette exposure on infant neurobehaviour: a comparison to a control group. EClinicalMedicine, 2020.
13 The Straits Times, 1 in 3 vapes here laced with etomidate; MOH working with MHA to list it as illegal drug: Ong Ye Kung, 2025. www.straitstimes.com/singapore/1-in-3-vapes-here-laced-with-etomidate-moh-working-with-mha-to-list-it-as-illegal-drug-ong-ye-kung
14 World Health Organisation, Tobacco: E-cigarettes, 2024, www.who.int/news-room/questions-and-answers/item/tobacco-e-cigarettes; The Straits Times, ‘I’d have phone in one hand, vape in the other’: Youth addicted to vapes gets help to quit habit’, 2025, sila lihat: www.straitstimes.com/singapore/id-have-phone-in-one-hand-vape-in-the-other-youth-addicted-to-vapes-gets-help-to-quit-habit
15 3,100 kes berkaitan vape telah ditangani setiap tahun di kalangan golongan pelajar di antara tahun 2022 hingga 2024. Sila lihat: The Straits Times, ‘3,100 students on average caught vaping yearly from 2022 to 2024; stricter penalties from Sept 1’, 2025. https://www.sgh.com.sg/news/patient-care/vaping-among-youth-in-singapore-the-real-damage-it-is-doing-to-their-bodies Lihat juga: The Straits Times, ‘Police alerted HSA to over 4,000 cases of vaping from 2023 to 2024; one family reported own child’, 2025. www.straitstimes.com/singapore/politics/police-alerted-to-over-4000-cases-of-vaping-from-2023-to-2024-1-parent-reported-child
16 Ibn ʿĀshūr, Al-Taḥrīr wa al-Tanwīr, (Tunisia: Al-Dār al-Tūnisiyyah, 1984), 2:215.
17 Muḥammad Al-Zuḥaylī, Al-Qawāʿid Al-Fiqhiyyah wa Taṭbīqātuhā fī al-Maḏāhib al-Arbaʿah. (Damsyik: Dār al-Fikr) 1:210 Penggunaan vape yang membawa kepada gelaja dual use (iaitu vape dan rokok secara serentak), justeru menyebabkan kemudaratan yang lebih teruk kepada kesihatan bertentangan dengan prinsip syarak yang menetapkan:
الضَّرَرُ لَا يُزَالُ بِمِثْلِهِ وَلَا بِمَا هُوَ فَوْقَهُ بِالْأَوْلَى.
Yang bermaksud: “Kemudaratan tidak boleh dielakkan/dihapuskan dengan kemudaratan yang serupa, dan lebih-lebih lagi tidak dengan kemudaratan yang lebih besar daripadanya...” Aḥmad al-Zarqāʾ, Sharḥ al-Qawāʿid al-Fiqhiyyah, (Damsyik: Dār al-Qalam, 1989), 195.
18 ʿAbdullah al-Ṭayyār, Al-Fiqh al-Muyassar, (Riyadh: Madār al-Waṭn, 2011), 13:45.
19 Ibn al-Qayyim al-Jawziyyah, Zād al-Maʿād fī Hady Khayr al-ʿIbād, (Beirut: Muʾassasah al-Risālah, 1996), 4:196
20 Aḥmad al-Zarqāʾ, Sharḥ al-Qawāʿid al-Fiqhiyyah, 165. Imam Al-ʿIzz ibn ʿAbd al-Salām juga menjelaskan kaedah di mana “Apa sahaja yang membawa kepada perkara haram, maka ia adalah haram.”
قال رحمه الله: مَا أَدّى إِلَى الحَرَامِ فَهُوَ حَرَامٌ
Sila lihat: Qawāʿid al-Aḥkām fī Maṣāliḥ al-Anām, (Kaherah: Maktabah Al-Kulliyyāt al-Azhariyyah, 1991), 2:218.
21 Aḥmad, Musnad Aḥmad, hadis no. 2865; Ibn Mājah, Sunan Ibn Mājah, hadis no. 2340; Al-Ṭabrānī, Al-Muʿjam al-Kabīr, hadis no. 11576; Al-Bayhaqī, Al-Sunan al-Kubrā, hadis no. 11878; Al-Dārquṭnī, Sunan Al-Dārquṭnī, hadis no. 4539.
22 Dār al-Iftāʾ fī al-Mamlakah al-ʾUrduniyyah al-Hāshimiyyah, fatwa no. 3436, 2018. https://aliftaa.jo/research-fatwas/3436/حكم-الأرجيلة-والسيجارة-الإلكترونية; Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Bayan Linnas Siri ke-274: Pengharaman Rokok dan Rokok Elektronik. 2023. www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/bayan-linnas/5754-bayan-linnas-siri-ke-274-pengharaman-rokok-dan-rokok-elektronik#_ftn26 ; Dār al-Iftāʾ al-Miṣriyyah, Fatwa no. 4730, 2019. http://www.dar-alifta.org/ar/fatwa/details/20752/حكم-السجائر-الإلكترونية
23 Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), Fatwa Hukum Menghisap Rokok, 2006. Sila lihat: https://www.muis.gov.sg/resources/khutbah-and-religious-advice/fatwa/fatwa-hukum-menghisap-rokok/
 Green logo_transparent background_blackfont.webp)