Fatwa berkaitan penggunaan mesin shredder
Jawatankuasa Fatwa memutuskan bahawa melupuskan Mushaf (al-Qur'an) dan penulisan agama menggunakan mesin shredder dibenarkan dalam agama kerana huruf-hurufnya terpisah antara satu sama lain dan tidak lagi membawa hukum ayat-ayat al-Qur'an.
بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على سيد المرسلين وإمام المتقين نبينا محمد وعلى آله وأصحابه أجمعين. اللهم أرنا الحق حقا وارزقنا اتباعه، وأرنا الباطل باطلا وارزقنا اجتناه وبعد.
Latarbelakang
1. Jawatankuasa Fatwa MUIS telah menerima soalan:
i. Apakah hukum menggunakan mesin ”shredder” bagi melupuskan tulisan ayat-ayat Al-Quran yang terdapat padanya penulisan agama.
ii. Apakah hasil carikkan yang terkeluar dari mesin tersebut masih dikira suci?
iii. Apakah hasil carikkan tersebut boleh dibuang seperti sampah biasa?
Dalil yang menjadi sandaran
2. Prinsip yang wajib dituruti oleh setiap individu muslim dalam beliau berurusan dengan mushaf Al-Quran ialah kewajipan menghormati mushaf dan segala penulisan agama yang terkandung padanya ayat-ayat suci Al-Quran serta hadith Nabi Muhammad s.a.w. Imam An-Nawawi menyatakan:
[ فصل ] أجمع المسلمون على وجوب صيانة المصحف واحترامه قال أصحابنا وغيرهم ولو ألقاه مسلم في القاذورة والعياذ بالله تعالى صار الملقي كافرا.
Yang bermaksud: "Kaum muslimin telah bersepakat atas kewajipan menjaga mushaf dan menghormatinya. Ulama Syafieyah dan selain mereka berkata: Seandainya seorang muslim membuang mushaf al-Qur’an ke dalam kotoran, -kami berlindung kepada Allah dari yang sedemikian- maka orang yang membuang itu menjadi kafir."1
3. Sekiranya sebuah mushaf sudah lapuk dan tidak boleh lagi dibaca, ataupun terdapat beberapa penulisan agama yang tidak lagi digunakan, maka Jawatankuasa Fatwa berpendapat melupuskannya adalah dibenarkan, bahkan ia menjadi suatu keperluan memandangkan dengan melupuskan penulisan tadi dapat memeliharanya dari pengabaian yang boleh menyebabkan penghinaan.
4. Melupuskan penulisan agama yang tidak lagi digunakan pernah dilakukan oleh para sahabat r.a. Seperti yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari bahawa Uthman ibn Affan r.a. telah memerintahkan untuk membakar mushaf-mushaf yang terkandung di dalamnya qiraat (cara pembacaan) yang telah dimansukhkan.2
5. Ulama silam kita telah berbincang berkenaan cara-cara pelupusan mushaf Al-Quran. Sebahagian fuqaha seperti Imam Al-Suyuti lebih cenderung kepada cara pelupusan menggunakan air.3 Sebahagian ulama mazhab As-Syafieyah berpendapat dengan membakar penulisan tersebut lebih menjamin ia terhapus dan tidak meninggalkan kesan,4 ada pula yang berpendapat cara pelupusan yang selain dari itu. Pendapat-pendapat yang berbeza ini membawa pengertian bahawa pembahasan para ulama tersebut merupakan perkara ijtihadi yang boleh berubah berdasarkan keperluan zaman & keadaan kehidupan mereka. Sekaligus membuktikan bahawa amalan Saidina Usman bin Affan r.a. bukanlah bertujuan untuk menghadkan cara pelupusan Al-Quran atau mewajibkan satu cara pelupusan sahaja.
6. Jawatankuasa Fatwa mengambil kira konteks dan situasi masyarakat Islam di Singapura, dengan keterbatasan ruang dan cara untuk melupuskan penulisan agama. Juga mengambilkira garispandu dan peraturan yang telah ditetapkan pihak berkenaan.
7. Atas dasar itu, Jawatankuasa Fatwa memutuskan bahawa apabila sebuah penulisan agama atau mushaf telah dicarikkan dengan cara yang mulia, sehingga huruf-hurufnya tidak boleh dibaca, maka ia tidak lagi membawa hukum mushaf atau ayat-ayat Al-Quran atau kalimah suci, serta boleh dihapuskan. Oleh itu melupuskan penulisan agama dan ayat-ayat Al-Quran dengan menggunakan mesin carikkan (shredder) adalah dibenarkan dalam agama. Dengan syarat, hasil yang terkeluar dari mesin tersebut mestilah menjadi halus, sehinggakan huruf-huruf penulisan tersebut terpisah antara satu sama yang lain.
والله أعلم ، وبالله التوفيق ، وصلى الله على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلّم.
Bertarikh 22 haribulan Mac 2012 bersamaan 28 Rabiulakhir 1433H
DR MOHAMED FATRIS BAKARAM
MUFTI NEGARA SINGAPURA
PENGERUSI, JAWATANKUASA FATWA
1 al-Nawawi, al-Tibyan fi Adab Hamalat al-Quran, Damsyik, Al-Wikalah Al-‘Ammah Li Al-Tawzi’, cetakan pertama, 1983, m/s 97.
2 Kisah tersebut diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari dalam kitab Sahihnya pada bab : Pengumpulan Al-Quran. Sila lihat : Al-Bukhari, Sahih Al-Bukhari, Beirut, Dar Ibn Kathir, cetakan ke-3, 1987, juz 4, m/s 1908.
3 Al-Suyuti, Al-Itqan fi ‘Ulum Al-Quran, Beirut, Dar Al-Kuttab Al-‘Arabi, cetakan pertama, 1999, juz 2, m/s 424.
4 Al-Bakri Al-Dimyati, I’anah Al-Talibin, Damsyik, Dar Al-Fikir, cetakan pertama, 1997, juz 1, m/s 85.
 Green logo_transparent background_blackfont.webp)