Amanat oleh Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir di Majlis Asatizah Hari Raya 2026
13 April 2026
Para asatizah digalakkan menghayati prinsip SUPER (Sikap, Usaha, Perancangan, Etika, Refleksi) dalam memelihara kesucian ilmu pengetahuan dan mengekalkan kesatuan masyarakat menghadapi cabaran global.
Yang berbahagia; Ustaz Nor Razak Bakar, Pengerusi Lembaga Pengiktirafan Asatizah, serta kepimpinan ARB
Yang dihormati, Ustaz Tarmizi Wahid, Presiden Persatuan Guru-Guru Agama Islam Singapura.
Yang dikasihi, para Asatizah sekalian.
Terimalah salam ukhuwwah daripada saya:
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Asatizah sekalian,
Bersempena Hari Raya yang mulia. Saya ucapkan kepada asatizah semua:
من العائدين والفائزين والمقبولين. تقبل الله منا ومنكم صالح الأعمال.
وكل عام وأنتم بخير.
Terima kasih atas kehadiran antum sekali lagi dalam pertemuan tahunan kita dalam suasana penuh mahabbah dan kesatuan, di bulan Syawal yang membawa keeratan persaudaraan dan keinsafan.
Daun janur dianyam indah
Menjadi ketupat hidangan Raya
Budi luhur cerminan ibadah
Menyulam erat jiwa dan raga
Kuih bahulu, kuih Makmur
Manisan tradisi di Hari Raya
Teguhkan ilmu, suburkan Syukur
Bekalan diri menempuh dunia
Asatizah sekalian,
Dalam mengharungi pelbagai cabaran serta isu sejauh ini sebagai umat Islam di Singapura, kita telah bersama-sama mencorak kehidupan beragama yang unik. Antara ciri-ciri kehidupan beragama kita adalah:
Kita menerima kepelbagaian pandangan dan keluasan tradisi keilmuan dan kesarjanaan yang dapat membantu mencari huraian bagi banyak permasalahan unik yang dihadapi.
Ini juga bermaksud kita bersedia bekerjasama dan berganding bahu dengan semua pihak yang inginkan kebaikan serta kemaslahatan bersama. Dalam bidang fatwa sebagai contoh, di samping kita menyelami turath fiqh dengan kekayaan mazahib dan pandangan, kita bekerja rapat dengan pakar dalam bidang yang dikaji, sama ada perubatan, sains pemakanan, teknologi dan sebagainya. Ini telah menghasilkan satu model pembangunan pemikiran agama yang unik, yang tidak segan dan malu untuk belajar dan menimba pengalaman daripada yang terbaik, tetapi tetap fokus menghasilkan panduan dan huraian agama yang berpaksikan prinsip serta nilai yang diajarkan Allah s.w.t. dan Rasul-Nya s.a.w.
Kita menerima realiti kehidupan yang maju, pesat dan cepat berubah, dan membuat perancangan serta persiapan awal, tanpa menantikan sehingga sesuatu isu menjadi tenat.
Kita saksikan sewaktu pandemik Covid-19, dan juga dalam bab pemakanan seperti daging kultur, perubatan seperti ujian genetik bagi penyakit kritikal, kesihatan seperti pengharaman vape, kewangan seperti isu nominasi, pemilikan rumah seperti joint-tenancy. Bahkan, dalam banyak perkara sedemikian, Singapura adalah antara pihak beragama yang paling awal menangani isu sedemikian, dan telah berkongsi kepakaran dan pendirian, yang kemudiannya menjadi contoh dan ikutan bagi pihak lain, atas dasar musyawarah dan berkongsi kepakaran, seperti dengan pihak Majma’ Fiqh Antarabangsa.
Kedudukan negara yang pesat membangun bererti kita perlu sentiasa bersedia dan memberi sumbangan wajar, dalam menggariskan panduan dan pandangan agama yang bersesuaian. Sebagai contoh, baru-baru ini, Singapura juga telah mengumumkan pembentukan agensi angkasa di Singapura. Tidak mustahil untuk kita gambarkan anak madrasah kita terlibat dalam membina kepakaran sedemikian.
Kita menekankan kesatuan dan adab serta etika agar dapat bergerak sama sebagai satu masyarakat yang bersatu dan bersepakat dalam menghasilkan serta menyebarkan kebaikan buat semua.
Sebab itu kita amat menekankan peranan serta etika di kalangan kita, Asatizah, terutama sekali, sebagai golongan yang membentuk keagamaan masyarakat dan menjadi contoh dan ikutan mereka. Dalam pelbagai isu, etika peribadi, etika menangani perbezaan pandangan, etika mendidik masyarakat dalam berbincang isu-isu rumit.
Jika barisan pendidik agama yang membuka pintu perselisihan yang membawa kepada kebencian, menanam benih fitnah yang memecah-belahkan umat dan masyarakat, mengutuk dan menyalahi pandangan satu sama lain di pentas awam, maka tidak hairan melihat keadaan umat Islam hari ini yang semakin lemah.
Saya berharap para Asatizah bersetuju bahawa ini adalah antara ciri-ciri penting bagi kehidupan beragama masyarakat Islam di Singapura, yang perlu kita terus pertahankan. Sebab ini bermakna kemajuan dan pembangunan dalam kehidupan beragama turut menyaingi pembangunan negara. Maka tidak wujud jurang yang besar antara keduanya, sehingga timbul kesangsian serta keraguan pada identiti agama dalam suasana dan konteks kehidupan masakini.
Di negara kita, kita sebenarnya berpeluang mempertahankan ciri agama yang sering disebut-sebut, bahawa Islam agama yang dinamik, membangun, sesuai bagi semua masa dan tempat (salih li kulli zaman wa makan). Ia bukan satu slogan yang hanya diuar-uarkan, tanpa bukti dan usaha. Di sini, kita berpeluang menjadikan slogan ini satu realiti, bagaimana agama membantu, membina, memajukan dan membawa kebaikan, tidak kira masa dan tempat.
Namun, cabaran ini semua semakin berganda dan bertambah rumit. Kerana pergolakan di dunia yang menjejas semua aspek kehidupan – politik, undang-undang, ekonomi, hak asasi manusia, keadilan, bahkan iklim dan cuaca. Bahkan, banyak prinsip-prinsip yang telah membentuk dunia moden dan mencorak hubungan sesama negara dan manusia sejak peperangan dunia kedua, kini sedang ditulis semula. Walaupun banyak negara dan masyarakat telah merasakan kesannya hari ini, kita tidak tahu bila giliran kita, dan ke mana dan bagaimana ia akan benar-benar menjejas kehidupan seharian di sini secara langsung.
Tetapi yang telah kita perhatikan sejauh ini adalah:
Cabaran-cabaran semakin kompleks dan mempunyai pelbagai dimensi rumit dan berkait, termasuk dalam isu-isu berkaitan agama
Retorik agama semakin panas
Perbezaan semakin ketara – lantas menjadi pemangkin perpecahan
Kekeliruan dan kebingunan semakin bermaharajalela
Ilmu agama bukan lagi warisan terpelihara golongan agamawan dan Asatizah
Kesan serta impak perkembangan-perkembangan ini ke atas masyarakat Islam amat mendalam, walaupun kesannya tidak berlaku dengan serta-merta atau mengambil masa sehari dua. Tetapi lama kelamaan, ia akan menghakis nilai dan identiti umat Islam Singapura, bahkan mengancam ciri-ciri kehidupan beragama kita, jika kita tidak bertindak dan mengambil langkah awal.
Kita telah banyak menyaksikan sendiri contoh-contoh bagi kesan dari perkembangan sedemikian, khusus melalui komen-komen di media sosial setiap kali sesuatu isu berkaitan agama timbul. Seolah-olah telah menjadi intuitif, atau respons semulajadi, untuk menghebohkan kesilapan dan kelemahan, menjatuhkan individu dan institusi, memecahbelahkan antara pihak-pihak yang terlibat, bahkan gejala takfir mula berakar, dan menyempitkan isu yang luas lantas memutuskan hanya satu saja pandangan yang boleh diterima dan semua penafsiran lain adalah batil lagi sesat.
Walaupun kita telah melihat perkembangan kehidupan beragama yang positif pada bulan suci Ramadan yang baru berlalu, di mana masjid-masjid kita melimpah-ruah dengan jemaah, solat tarawih kekal makmur sehingga ke penghujung bulan, neraca penghayatan agama harus seimbang antara ilmu pengetahuan dan amalan. Saya amat khuatir, jika terdapat jurang yang amat ketara antara amalan dan ilmu. Ia berpotensi akan menimbulkan masalah besar dalam menangani situasi yang lebih rumit lagi kompleks seperti yang disebutkan sebentar tadi.
Oleh itu, peranan Asatizah amat kritikal sekali, bukan hanya untuk mencorakkan kehidupan beragama dalam era kekeliruan ini, tetapi juga bagi menyelamatkan institusi Asatizah secara amnya, agar ia kekal relevan dan dihormati sebagai rujukan.
Saya berani mengatakan hari ini, kita tidak boleh menganggap ringan bahawa golongan Asatizah terus diperlukan atau masih berperanan penting, dalam dekad-dekad mendatang. Ini bukan sesuatu yang terjamin, walaupun ramai yang masih berkelayakan dalam bidang agama dari institusi terkenal.
Benteng terakhir dan yang paling penting dalam memelihara kesucian dan kemurnian ilmu pengetahuan, serta dalam memartabatkannya, adalah benteng Asatizah – adalah antum sekalian. Antum yang perlu memelihara dan menjaga amanat ilmu ini dengan sebaik-baiknya.
Izinkan saya menekankan lima (5) perkara berkaitan peranan Asatizah sekalian dalam memelihara amanah ilmu:
Sikap
Perlu kita perhatikan dan perhalusi sikap kita terhadap ilmu – yang seharusnya cinta yang amat sangat terhadap ilmu sebagai umat Al-Quran yang dikejutkan dengan perintah “Iqra’ bismi rabbika alladzi khalaq” setiap hari - lantas melahirkan komitmen luar biasa, di mana kita sentiasa mendahagakannya dan akan mencari dan merebut semua peluang untuk menambah ilmu, tidak kira bidangnya, dan juga di tangan siapa terdapat kepakaran tersebut.
Kerana inilah warisan intelektual agama yang pernah dibina satu masa dahulu, seperti usaha khalifah Al-Abbasi Al-Ma’mun dalam membangunkan Baitul Hikmah. Sedihnya, banyak universiti ulung belajar dari ketamadunan ilmu sedemikian, lantas membangunkan institusi mereka dengan begitu gigih dan bijak, sehingga sekarang ini menerajui pembangunan ilmu.
Usaha
Sikap yang kemudiannya dicerminkan dalam usaha gigih menimba serta berkongsi ilmu, dengan cara yang serius dan berstruktur. Termasuk peluang belajar melalui kursus CPE yang disediakan, atau melanjutkan pengajian, dan juga dalam mencorak program dakwah di masjid-masjid melalui kuliah-kuliah.
Saya ingin mengajak para Asatizah untuk merenungkan isu dakwah serta pendidikan agama bagi masyarakat – adakah kita telah benar-benar berusaha mempertingkatkan mutunya sebaik mungkin? Sebab banyak permasalahan dan cabaran hari ini memerlukan gandingan ilmu (interdisciplinary approach) yang pelbagai dan lebih mendalam – seperti maqasid, usul, qawaid. Cabang ilmu sedemikian amat diperlukan hari ini, bukan hanya bagi golongan Asatizah, tetapi juga masyarakat awam.
Dalam merancakkan lagi dakwah bagi masyarakat, tiba masanya untuk kita berbincang dan bertukar fikiran dalam mencari jalan yang sesuai memperkenalkan dan mengajar disiplin sedemikian kepada semua lapisan masyarakat.
Perancangan
Kita juga perlu merancang untuk generasi akan datang – mempersiapkan asas-asas untuk melahirkan golongan pelapis dalam usaha mencari dan menghasilkan ilmu. Dalam dewan ini sahaja, saya lihat begitu ramai adik-adik, bahkan anak-anak kita, di kalangan Asatizah muda. Mereka yang akan meneruskan amanah memelihara dan memajukan ilmu.
Oleh itu, kami telah memulakan usaha Makmal Fatwa dalam memikirkan cabaran-cabaran besar akan datang, serta membentuk Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS) – bukan setakat menyediakan program pendidikan Islam, tetapi melahirkan institusi bagi Asatizah untuk berbincang dan mengembangkan ketamadunan ilmu di negara kita.
Visi membangunkan institusi seperti ini memerlukan pendekatan segar dan yang bersesuaian dengan konteks semasa dan negara kita. Justeru, Program Sarjana Muda Pengajian Islam yang bakal ditawarkan SCIS mengetengahkan pendekatan silang disiplin, di mana para bakal Asatizah akan dilengkapkan bukan sahaja dengan kefahaman mendalam terhadap disiplin keilmuan Islam, tetapi juga perspektif daripada bidang ilmu lain seperti sains sosial dan sains kemanusiaan.
Pembangunan fatwa dan penubuhan institusi pengajian tinggi seperti Kolej Islam Singapura merupakan suatu wawasan masa hadapan yang strategik dalam usaha melahirkan dan memperkukuh kepimpinan keagamaan yang berwibawa agar mampu memimpin masyarakat dalam berhadapan dengan dunia yang semakin kompleks.
Etika
Semakin meningkat ilmu, akan meningkat juga ufuk pandangan, perspektif, idea yang berbeza yang tidak terhad hanya di kalangan Asatizah sahaja, tetapi semakin meluas kepada masyarakat luar umumnya. Adakah perbezaan ini mesti berakhir dengan perpecahan dan melebarkan jurang? Sama sekali tidak!
Kerana etika (adabul ikhtilaf) dan akhlaq (al-adab qablal ‘ilm) serta nilai yang selama ini membentuk keperibadian kita, mengajar kita agar berlapang dada dan saling hormat menghormat. Inilah kemuncak hikmah yang diajar oleh Baginda s.a.w. sebagaimana sabdanya, “alhikmatu dhollatu mukmin. Fahaithu wajadaha fahuwa ahaqqu biha”
Refleksi
Ilmu membantu kita meneliti, memerhati, memahami dan menghayati keadaan dan cabaran serta suasana – kita adalah golongan al-mutadabbirin li ayatillah. Seperti yang Allah sebutkan dalam dua ayat berkaitan orang yang berilmu, di mana kedua-duanya menyentuh tentang kepelbagaian manusia dan alam ciptaan Tuhan – yang bermakna mereka yang berilmu memahami kepelbagaian ini, lantas lebih bijak mengemudi situasi sosial sedemikian.
أَلَمْ تَرَ أَنَّ ٱللَّهَ أَنزَلَ مِنَ ٱلسَّمَآءِ مَآءًۭ فَأَخْرَجْنَا بِهِۦ ثَمَرَٰتٍۢ مُّخْتَلِفًا أَلْوَٰنُهَا ۚ
وَمِنَ ٱلْجِبَالِ جُدَدٌۢ بِيضٌۭ وَحُمْرٌۭ مُّخْتَلِفٌ أَلْوَٰنُهَا وَغَرَابِيبُ سُودٌۭ ٢٧
Tidakkah engkau melihat bahawa Allah menurunkan hujan dari langit, lalu Kami keluarkan dengan air hujan itu buah-buahan yang berlainan jenis dan rupanya; dan di antara gunung-ganang pula ada yang mempunyai jalur-jalur serta lorong-lorong putih dan merah, yang berlainan warnanya (tua dan muda) dan ada juga yang hitam legam;
وَمِنَ ٱلنَّاسِ وَٱلدَّوَآبِّ وَٱلْأَنْعَـٰمِ مُخْتَلِفٌ أَلْوَٰنُهُۥ كَذَٰلِكَ ۗ
إِنَّمَا يَخْشَى ٱللَّهَ مِنْ عِبَادِهِ ٱلْعُلَمَـٰٓؤُا۟ ۗ إِنَّ ٱللَّهَ عَزِيزٌ غَفُورٌ ٢٨
Dan demikian pula di antara manusia dan binatang-binatang yang melata serta binatang-binatang ternak, ada yang berlainan jenis dan warnanya? Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun.
Para ulama kita banyak menghabiskan masa dengan tafakkur dan tadabbur, berbekalkan ilmu dan kerohanian yang tinggi. Mereka sedar dan akur bahawa panduan mereka memberi kesan dan impak yang besar kepada keimanan, ketaqwaan dan keperibadian masyarakat. Lantas mereka selalu memikirkan keadaan masyarakat dan dunia, dan cuba memahami panduan ilahi yang dapat merubah keadaan menjadi lebih baik.
Sikap, usaha, perancangan, etika dan refleksi (S-U-P-E-R) merupakan panduan penting dalam membangunkan ilmu dan kepimpinan keagamaan kita. Saya menggalakkan Asatizah menghayati prinsip SUPER ini untuk membina sikap cintakan ilmu, melaksanakan usaha gigih menimba dan menyebar pengetahuan, merancang pendidikan dan kepimpinan generasi pelapis, mengamalkan etika dan adab dalam setiap interaksi, serta sentiasa merefleksi ilmu untuk menghadapi cabaran kehidupan dan masyarakat secara bijak.
Asatizah sekalian,
Tanggungjawab dan amanah kita adalah untuk memastikan masyarakat tidak dibiarkan tanpa bimbingan dalam menghadapi pelbagai cabaran dan keadaan kehidupan beragama. Dengan kerumitan isu dan cabaran, kita perlu memastikan panduan dan nasihat kita sesuai dan lebih bertepatan dengan keadaan. Arus dan gelombang kekeliruan dan perpecahan bak tsunami yang baru terbentuk, pasti akan sampai juga ke pantai kita. Oleh itu, kita perlu membina benteng yang kukuh dan berdaya tahan, seperti yang digambarkan Allah s.w.t. sebagai kalimah tayyibah, asluha tsabit, wa far’uha fissama’.
Saya berharap kita barisan Asatizah yang mapan dan yang muda, ibarat air dan tebing, berganding bahu, saling memperkukuhkan kesatuan barisan asatizah dan gerak bersama dalam membina dan mengukuhkan benteng ini. Terima kasih atas sumbangan mulia yang sejauh ini asatizah lakukan. Hanya Allah sahaja yang dapat membalasnya dengan sebaik-baik ganjaran. Izinkan saya menutup ucapan saya ini dengan dua rangkap pantun:
Sampin biru bercorak bunga
Selendang sutera tenunan asli
Martabatkan ilmu, akhlak diutama
Masyarakat terbina, kukuh jatidiri
Awan gelap bergerak perlahan
Menyelubungi cahaya, mentari tenggelam
Andai tersilap dalam pergaualan
Maaf dipinta, beriringan salam.
وبالله التوفيق والهداية
والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته
 Green logo_transparent background_blackfont.webp)