Senior Officials’ Meeting (SOM) Seminar
15 October 2025
Speech by Mufti, Ustaz Dr Nazirudin Mohd Nasir at Senior Officials’ Meeting (SOM) Seminar
Usaha bersama di jalan lurus
Langkah seiring penuh cahaya
Ukhuwah Islamiyah dijalin terus
Berpaksi agama dan meraikan budaya
Bicara terakhir penutup wacana
Ilmu disulam dalam irama
Sabarlah Tuan Puan semua
Sebentar lagi jamuan bersama
Setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak penganjur dan juga kepada negara Tuan rumah atas usaha mengadakan seminar yang merupakan wadah penting untuk memperkukuh kefahaman, mempererat ukhuwah dan menggalak kerjasama serantau. Kiriman terima kasih khusus buat Tuan rumah dan segala pegawai JAKIM yang telah menyambut kami dengan begitu baik dan juga menghulurkan layanan yang begitu mesra dari lapangan terbang hingga selamat sampai ke hotel malam semalam. Terima kasih.
Saya juga amat berterima kasih atas peluang menyampaikan beberapa pandangan dan berkongsi keprihatinan selaku salah seorang peserta dan pembentang pada pagi ini, dan juga selaku Mufti Negara Singapura di peringkat SOM, kerana saya kira kita berada pada waktu yang amat kritikal, yang mana pemikiran serta pendirian kita, dan secara khusus, kepimpinan agama dah institusi agama, terhadap isu-isu dan cabaran besar akan meninggalkan kesan jangka panjang, bukan hanya buat generasi kita, tetapi generasi-generasi akan datang.
Walaupun pembentangan kami tidak dirancang, tapi banyak keprihatinan serta pendekatan yang dikongsi sama. Saya rasa ini adalah permulaan yang baik. Jika kita meneliti tiga pembentangan awal tadi, ada topik-topik yang memerlukan kupasan yang terperinci, mungkin melalui seminar-seminar tersendiri.
Sebagai contoh, pembentangan Pengiran Norhayati berkaitan dengan da’wah dalam era ‘digitalisation’ atau kecerdasan buatan (articifial intelligence). Begitu juga pembentangan Dr. H. Ahmad Zayadi tentang ekoteologi, dan begitu juga pembentangan Tuan Haji Muhyidin Aziz berkaitan dengan Islamofobia dan juga kecelaruan identiti yang berlaku sekarang ini.
Saya yakin wadah seperti seminar serantau ini mempunyai peranan besar, jika dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya, bukan hanya untuk melahirkan idea-idea dan saranan baharu, tetapi memperkukuh komitmen dan iltizam kepimpinan institusi-institusi agama untuk mencorak masa depan bersama. Saya percaya ini yang dihasratkan oleh pihak penganjur, dengan tema SOM kali ini, iaitu Memperkukuh Ummah MADANI Islam Serantau Menuju al-Falah.
Al-Falah adalah laungan agama yang sentiasa mengingatkan kita tentang wawasan bagi umat ini - namun, adalah tanggungjawab kita untuk menentukan bentuk, gaya dan cara mencapai kejayaan dan kegemilangan. Adakah kejayaan ini berbentuk ekonomi dan pembangunan material? Atau pengamalan dan orientasi keagamaan tertentu? Saya yakin kita dapat bersetuju bahawa secara amnya, Al-Falah yang dimaksudkan, adalah yang bersifat komprehensif, syumul dan seimbang - Al-Falah yang berpaksikan Al-Wasatiyyah.
Walaupun secara dasarnya masyarakat dunia telah menikmati kualiti kehidupan yang lebih baik, namun tetap ada banyak lagi persoalan asas berkaitan nilai kehidupan dan kelestarian (sustainability) pembangunan itu sendiri. Sebagai contoh dalam rajah yang saya kongsikan, banyak matlamat di peringkat global berkaitan kelestarian (sustainability) masih belum tercapai. Bahkan banyak keperluan asas manusia masih lagi belum dipenuhi. Dengan lensa pembangunan yang bersifat jangka masa pendek, yang bermaksud masyarakat atau negara yang mengejar pembangunan dan meraihkan manfaat dengan segera, banyak kesan negatif yang telah dan akan terus timbul, yang pada akhirnya, akan melemahkan ketamadunan dan pembangunan umat manusia.
Sebagai contoh, kesan pembangunan yang menggunakan sumber alam secara berlebihan dan tidak terkawal telah membawa akibat yang serius terhadap iklim dan cuaca dunia. Pencemaran udara telah menyebabkan peningkatan suhu global dan ketidakseimbangan ekosistem bumi. Perubahan ini berlaku dengan begitu cepat dan mendadak. Bahkan pada tahun-tahun yang akhir ini, setiap tahun rekod cuaca dunia dipecahkan. Setiap tahun cuaca lebih panas dari tahun sebelumnya dalam sejarah umat manusia. Impak atas ekonomi amat besar. Sebagai contoh, hanya dengan satu sahaja peratus peningkatan suhu cuaca, maka kesan atas ekonomi amat parah sekali bagi banyak negara.
Begitu juga dalam aspek kesepaduan dan keharmonian sosial. Kemasukan penduduk baharu (immigrants) dengan jumlah yang banyak yang tidak diimbangi dengan dasar-dasar yang menggalakkan integrasi dan kehidupan harmoni, telah mengakibatkan sikap anti-imigran dan juga Islamofobia berleluasa, khususnya di banyak negara-negara Barat.
Banyak sebab dan faktor yang boleh kita pelajari dan bahaskan bagi segala gejala yang mengkhuatirkan ini. Namun, pada hemat saya, secara amnya, ia disebabkan oleh ketidakseimbangan yang terserlah - antara pembangunan dan sikap mengejar pembangunan dan usaha memupuk nilai-nilai dan prinsip-prinsip yang kukuh sebagai asas bagi pembangunan. Di sini, peranan dan risalah agama amat kritikal sekali untuk mengimbangi semula hubung kait di antara pembangunan dan nilai-nilai manusia. Kerana sebagai umat Islam, kita yakin agama kita adalah pemangkin atau “catalyst” bagi segala kebaikan dan bagi seluruh umat manusia.
Izinkan saya menjelaskan hubung kait ini dalam bentuk rajah berikut:
Maqasid Al-Shariáh adalah matlamat tertinggi - kerana ia menjamin keselamatan dan kesejahteraan umat manusia dengan memelihara asas-asas kehidupan sebagai individu, keluarga, masyarakat dan umat. Oleh kerana ia tidak wujud di banyak tempat dalam dunia masa kinilah, maka timbul konflik dan kekecauan yang berterusan seperti yang sedang kita saksikan.
Nilai-nilai dan prinsip-prinsip agama adalah asas (foundation) bagi segala usaha dan pendekatan dalam mencapai matlamat Maqasid Al-Shaiah. Nilai-nilai mudah kita sebut dan sering kita sebut dan pelajari sebagai contoh; nilai keadilan, kesaksamaan, rahmah dan keihsanan, kedamaian, ketelusan dan sebagainya. Kita perlu hayati dengan lebih mendalam lagi, dan ditafsirkan dan diterjamahkan di semua peringkat dalam semua program pendidikan dan dakwah, serta nilai-nilai ini perlu membentuk norma dan etika kepimpinan, pentadbiran dan pekerjaan kita.
Dan yang menghubung kait antara nilai-nilai di bawah dan matlamat di atas yang menjadi wasilah dan perantaranya adalah kepimpinan - tetapi kepimpinan yang mempunyai tiga aspek utama:
Pertama adalah kepimpinan yang memahami keunikan konteks serta menggarapi kompleksiti dan kerumitan cabaran masa kini. Ini bermaksud pemimpin yang boleh membantu masyarakat dan umat menghadapi cabaran-cabaran masa ini. Mereka terlebih dahalu perlu memahami kompleksiti masalah yang dihadapi dan hubung kaitnya dengan pelbagai aspek-aspek kehidupan. Jarang sekali kita mendapati satu isu atau masalah hanya mempunyai satu sebab atau faktor. Oleh itu agama, fatwa dan panduan yang diberikan kepada masyarakat perlu mengambil kira segala aspek sesuatu masalah. Jika tidak, ubat yang diberi bagi penyakit tidak menepati prognosis yang sebenarnya – yang lain kita cuba ubati, maka masalahnya tidak hilang.
Kedua adalah kepimpinan yang berwawasan - iaitu mempunyai aspirasi tinggi dan berjangka masa panjang demi memartabatkan masyarakat dan umat. Kepimpinan yang jika diajukan soalan apakah bentuk Al-Falah dan kegemilangan dan kejayaan dalam suasana tertentu, ia jelas memberikan gambaran.
Ketiga adalah kepimpinan yang autentik / luhur iaitu kepimpinan yang benar-benar yakin dan beriman bahawa segala nilai, wawasan dan matlamat ini adalah sebahagian dari identiti agama dan budayanya – bukan sesuatu yang dibuat-buat atau dipaksa. Keluhuran ini penting untuk mendukung kelestarian segala usaha bagi mencapai wawasan kerana perjalanan mencapai Al-Falah ini amat sukar. Ia penuh onak dan duri, dan kepimpinan yang tidak didasari dengan keluhuran sedemikian pasti akan mula retak apabila dilanda ujian-ujian besar.
Saya percaya setiap negara MABIMS telah mengambil pendekatan serupa dalam usaha mencapai pembangungan dan kemakmuran bagi umat dan negara. Izinkan saya berkongsi dengan ringkas dengan beberapa aspek penting bagi pendekatan Singapura. Bagi kami, pembangungan kepimpinan adalah amat kritikal sekali – ia bukan hanya berkait dengan isu kejayaan atau kegemilangan sahaja, tetapi dengan kewujudan. Ia satu soalan “existential” bagi negara Singapura.
Begitu juga dengan kepimpinan keagamaan, yang mana cabarannya bukan hanya membentuk kepimpinan hari ini, tetapi lebih penting bagi generasi akan datang. Seperti pepatah yang sering kita dengar, jika kita gagal untuk merancang, kita merancang untuk gagal. (If we fail to plan, we plan to fail.) Di Singapura, seperti yang telah dimaklumkan oleh Perdana Menteri Singapura baru-baru ini, Singapura sedang menubuhkan kolej bagi pengajian Islam (Singapore College of Islamic Studies, SCIS) sebagai contoh atau wadah penting untuk melahirkan pemimpin-pemimpin agama masa depan, yang bukan hanya terdidik dan mahir dalam disiplin-disiplin agama, tetapi juga digandingkan dengan kemahiran dalam bidang sains kemasyarakatan, serta mempunyai keupayaan-keupayaan baharu yang akan membantu mereka kekal relevan dan berkesan sebagai pemimpin dan dalam menjalankan dakwah masa kini. Keseimbangan antara tradisi keilmuan agama dan keilmuan kontemporari dan masa depan serta kemahiran menangani alat dan teknologi pembelajaran terkini, akan melahirkan pemimpin yang dapat mengukir dan merealisasikan Al-Falah yang berbentuk lestari, seimbang dan sesuai dengan konteks mereka.
Persoalan pertama bagi umat Islam Singapura secara khusus, adalah bagaimana masyarakat Islam dapat meneruskan pengamalan agama dan terus menyumbang ke arah pembangunan negara dan mengukuhkan lagi persefahaman serta kepercayaan antara masyarakat yang berbeza bangsa, budaya dan agama. Ia bukan satu persoalan yang mudah dan jelas. Banyak isu-isu dan konsep perlu ditangani, supaya kita dapat mengelakkan kekeliruan dan konflik identiti bagi umat Islam Singapura. Namun, kita bersyukur, berkat usaha pelbagai pihak dan lapisan masyarakat, kerencaman yang kita hadapi di Singapura, secara setiap hari dan setiap masa, tidak menjadi unsur yang melemahkan perpaduan sosial, malah sebaliknya, ia telah membantu memperkukuhkannya.
Atas dasar ini, saya yakin bahawa usaha rantau kita ini, melalui wadah MABIMS, untuk membentuk ketamadunan yang unik dan sesuai dengan nilai-nilai Nusantara, berpotensi untuk memberi impak dan kesan, bukan hanya bagi umat Islam, tetapi umat manusia secara amnya. Ini khusus tatkala dunia mendahagakan kepimpinan dan contoh dalam suasana yang semakin dikaburkan dengan kecelaruan identiti, ketidak-seimbangan pembangunan, eksklusifma politik dan sosial, dan sebagainya.
Sejauh ini, pemerhatian dunia terhadap Islam sering tertumpu sama ada pada negara-negara Arab Timur Tengah, ataupun masyarakat minoriti Islam di Barat, seolah-olah itulah mi’yar atau ukuran bagi kejayaan mahupun kegagalan agama dan umat Islam. Semamangnya terdapat banyak sebab sejarah dan sebab politik bagi penumpuan sedemikian. Namun dalam konteks masa kini ia tersilap, atau sekurang-kurangnya, ia mempunyai sifat berat sebelah. Kerana agama kita, Risalah Islam Adalah Risalah ‘Alamiyyah, yang bersifat universal, Rahmah yang dibawa Nabi-Nya juga Rahmah ‘Alamiyyah, dan dalam rangka universalnya agama ini, seharusnya contoh al-Falah dan kejayaan agama dan umat Islam, perlu diperluaskan untuk meninjau keadaan umat Islam di mana sahaja mereka berada, bukan hanya pada rantau-rantau tertentu.
Oleh itu, sewajarnya, kita sama-sama berusaha mengalihkan perhatian dunia ke arah timur, dan dengan lebih khusus, ke rantau Nusantara, yang mana umat Islam di sini telah lama memperjuangkan nilai-nilai murni seperti keseimbangan dan kesederhanaan. Bukan mengejar nama, tetapi untuk kita memberikan contoh baik bagaimana agama boleh berjaya dalam konteks dan era masa kini. Untuk mensajikan alternatif bagi keharmonian dan persefahaman dalam konteks kerencaman umat dan masyarakat. Untuk menunjukkan bagaimana gandingan nilai-nilai masyarakat Nusantara yang membudayakan sikap rahmah, keluhuran dan kelembutan budi pekerti, yang dipertajamkan dengan nilai-nilai agama yang kita cintai serta contoh baik dalam hubungan silang-bangsa dan kepelbagaian budaya dan agama, boleh menghasilkan pembangunan yang lestari dan seimbang. Bahkan dalm satu kajian baru-baru ini, yang dijalankan oleh salah satu institusi akademik di Singapura, tinjauan negara-negara ASEAN termasuk negara-negara MABIMS didapati index perpaduan sosialnya amat tinggi sekali. Jadi dalam suasana dunia kehilangan arah, bagaimana masyarakat yang rencam dapat hidup sepadu dan harmoni negara-negara di rantau kita, menunjukkan contoh yang baik, positif dan sebaliknya. Jika umat manusia bertanya adakah keharmonian, kedamaian dan kemajuan boleh dicapai, kita dapat menyahut dengan sebulat suara bahawa ya, ini boleh dicapai dan lihatlah masyarakat kita sebagai buktinya.
Namun, ini sama sekali tidak bererti kita adalah sempurna (al-kamal lillahi wahdah). Atau kita telah mencapai wawasan. Perjalanan kita masih jauh. Cabaran hari muka akan bertambah lebih kompleks dan rumit. Sama-samalah kita terus memperkukuhkan model atau contoh unik pengamalan agama yang mekar dan membawa kesejahteraan dalam apa jua keadaan dan terus kita melabur dan memberikan fokus dan penumpuan kepada pembinaan kepimpinan yang unggul lagi cemerlang. Dalam usaha ini saya mengajak semua untuk bertukar-tukar pengalaman dan pandangan bagaimana kita dapat terus mempertajamkan usaha untuk melatih, mendidik dan melahirkan kepimpinan bagi generasi akan datang. Semoga wadah perbincangan ini dapat menyokong usaha murni semua institusi-institusi negara-negara MABIMS ke arah wawasan ini yang kita harapkan diberkati Allah s.w.t. dan menjadi pemangkin kepada kemajuan agama serantau yang bersatu dan berdaya tahan.
Air mengalir tenang di kali
Ikan berenang riang sejiwa
Perkongsian tamat penuh harmoni
Umat bersatu, teguh sekata
Seirama selangkah merentasi bumi
Demi agama damai sejati
Kesatuan dikukuh al-falah dicari
Teguh berjaya ummah madani
Sekian. Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.