Ucapan oleh Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir sempena Pembukaan Bangunan Annex Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah (MWTI)
29 August 2026
Mufti Dr Nazirudin melancarkan bangunan annex MWTI, meraikan legasi dan memperkukuh masa depan pendidikan Islam di Singapura.
بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف المرسلين سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين. سبحانك لا علم لنا الا ما علمتنا إنك أنت العليم الحكيم
Yang berusaha, Tuan Pengerusi Majlis,
Yang saya hormati, al-fadhil Tuan Abdul Hamid, Pengerusi Lembaga Pentadbir Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah,
Yang dihormati, Ustazah Masnia, Mudirah Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah,
Sekalian ahli Lembaga Pentadbir Madrasah, guru-guru, ibu-ibu, bapa-bapa, sukarelawan Madrasah,
Semua barisan petugas dan hadirin hadirat sekalian,
Assalamu’alaikum wrt wbt
Kita mulakan dengan memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah s.w.t. atas usaha yang telah bermula sekian tahun, dalam membantu meningkatkan keupayaan Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah untuk terus mendidik anak-anak masyarakat Islam Singapura, dalam keadaan sebaik-baiknya dengan penambahbaikan kepada bangunan dan fasiliti madrasah. Pada hari ini sampai kepada “milestone” atau peringkat selanjutnya dengan pelancaran, yang mana moga-moga, dengan masa pelancaran bersamaan bulan Rabiulawal dan majlis memperingati kelahiran Rasulullah s.a.w. dan begitu juga dengan memartabatkan kitab suci Al-Quran - melalui musabaqah Al-Quran Muqnan yang baru selesai awal pagi tadi, majlis ini serta bangunan ini mendapat keberkatan setinggi-tingginya dari Allah s.w.t.
Saya ingin mengucapkan dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah kerana sudi menjemput saya untuk sama-sama dengan tuan-tuan dan puan-puan pada majlis ini, serta melancarkan bangunan annex ini.
Saya juga ingin merakam tahniah kepada pihak madrasah dan setiap orang yang telah berusaha untuk menjayakan projek ini sehingga selesainya. Semoga Allah s.w.t. meletakkan segala langkah, usaha dan titik peluh dalam timbangan kebaikan mereka pada hari Kiamat kelak, InsyaAllah.
Hadirin dan hadirat yang dikasihi sekalian, begitu juga usaha untuk terus mempertingkatkan keupayaan institusi pendidikan Islam kita di Singapura, dalam menyahut cabaran-cabaran masa depan yang lebih kompleks dan lagi rumit. Di antaranya, adalah dengan memperbaiki fasiliti madrasah, institusi pendidikan agama, seperti yang terakam dalam penyempurnaan pembangunan bangunan annex ini sendiri. Ini adalah satu usaha yang sangat penting dalam meneruskan tradisi dan legasi para ulama kita dan guru-guru kita, dalam terus menyebarkan risalah agama, pertama kepada masyarakat Islam secara khusus dan yang kedua, rakyat Singapura.
Ini adalah satu legasi yang telah dimulakan, khusus bagi Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah, oleh pengasasnya Almarhum Ustaz Mohd Noor Bin Taib, dan diteruskan oleh Almarhum Ustaz Abdul Halim bin Mohd Noor dan sekarang ini diteruskan oleh generasi kepimpinan madrasah. Dan kita berbaik sangka kepada Allah s.w.t. dan dengan usaha mereka, agar setiap langkah yang dilakukan di dalam memartabatkan ilmu agama, memelihara ajaran kitab Allah dan sunnah nabiNya s.a.w, termasuk dalam apa yang Allah s.w.t. firmankan dalam Surah Faatir, ayat 33:
ثُمَّ أَوْرَثْنَا الْكِتَابَ الَّذِينَ اصْطَفَيْنَا مِنْ عِبَادِنَا ۖ فَمِنْهُمْ ظَالِمٌ لِّنَفْسِهِ وَمِنْهُم مُّقْتَصِدٌ وَمِنْهُمْ سَابِقٌ بِالْخَيْرَاتِ بِإِذْنِ اللَّهِ ۚذَٰلِكَ هُوَ الْفَضْلُ الْكَبِيرُ
Kemudian Kami wariskan kitab (Al-Quran) kepada mereka yang terpilih di kalangan hamba-hamba Kami (Allah), tapi di kalangan mereka ada yang menzalimi diri mereka dengan mengabaikan ajaran kitab tersebut, dan di kalangan mereka yang bersederhana di dalam melaksanakan amalan dan di kalangan mereka ada yang berada di barisan hadapan mencari kebaikan berpandukan kitab yang diwarisi dengan izin Allah, dan demikianlah kelebihan yang besar yang dianugerahkan Allah kepada hamba-hambaNya yang terpilih.Kita bersangka baik setiap orang yang telah berusaha dengan niat yang ikhlas untuk membangunkan madrasah ini, untuk memajukan madrasah ini, termasuk dalam golongan yang mengejar kebaikan dengan izin Allah, yang dibalas Allah dengan syurga, dan selanjutnya balasan yang sungguh istimewa di sisi Allah s.w.t.
Saya juga amat berbesar hati dan juga rasa teruja dengan sambutan para guru dan juga para pelajar Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah dalam semangat mereka untuk meneruskan perjalanan mencari ilmu agama di peringkat setinggi mungkin. Dalam interaksi saya dengan para pelajar, mereka menunjukkan kegigihan yang luar biasa untuk terus mencari ilmu dan seterusnya berkhidmat. Dan juga secara peribadi, saya sangat bersyukur kerana mereka juga menyambut baik pelan untuk kita meneruskan pengajaran Islam di peringkat sarjana di Singapura melalui institusi Kolej Pengajian Islam Singapura atau Singapore College of Islamic Studies (SCIS).
Begitu juga sambutan daripada tenaga pengajar Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah, yang telah melahirkan hasrat yang jelas dan yang baik, dalam bekerjasama dengan kolej Islam tersebut untuk memastikan para pelajar daripada Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah, apabila mereka selesai pengajian nanti, mempunyai jalan kemasukan kepada institusi kolej dengan sebaik-baiknya. InsyaAllah.
Inilah harapan kita, bahawa generasi yang akan meneruskan amanah mencari dan menyebarkan ilmu serta kebaikan dan menyebarkan panji-panji rahmat agama yang kita sayangi ini, akan berterusan di Singapura, berpandukan ajaran dan pendekatan guru-guru kita yang sentiasa memikirkan kebaikan bagi umat dan masyarakat, InsyaAllah.
Semoga Allah s.w.t. merahmati segala usaha yang kita kerjakan bersama, khususnya dalam menyiapkan atau menyempurnakan pembangunan (bangunan) yang kita berada padanya pada tengahari ini, bangunan annex Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah. Agar Allah memberkati usaha setiap orang yang telah berkorban demi membangunkan bangunan ini dan menjayakannya, inshaaAllah. Dan agar ia akan terus membawa manfaat yang sebaik-baiknya bagi generasi-generasi akan datang, inshaaAllah.
Sama-sama lah kita berdoa pada Allah s.w.t. agar Allah mengabulkan segala hasrat dan niat yang baik daripada usaha ini. Dan semoga Allah memelihara Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah, Lembaga Pentadbirnya, kepimpinan dan guru-guru madrasah serta pelajarnya, untuk sentiasa berada di atas landasan yang membawa kebaikan di atas landasan yang membawa kebaikan di dunia dan akhirat dan dapat membantu masyarakat Islam Singapura meneruskan amanah mengajar dan menyebarkan agama dengan sebaik-baiknya.
 Green logo_transparent background_blackfont.webp)