Milk bank - Malay

AKTA PENTADBIRAN HUKUM ISLAM

(BAB 3, BAHAGIAN 32)

 

FATWA YANG DIKELUARKAN

OLEH

JAWATANKUASA FATWA, MAJLIS UGAMA ISLAM SINGAPURA

 

Jawatankuasa Fatwa telah membincangkan soalan yang diterima daripada hospital KKH pada mesyuarat fatwa pada 17 Nov 2016 dan 10 Januari 2017

FATWA

بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله رب العالمين ، والصلاة والسلام على سيد المرسلين وإمام المتقين نبينا محمد وعلى آله وأصحابه أجمعين.  اللهم أرنا الحق حقا وارزقنا اتباعه، وأرنا الباطل باطلا وارزقنا اجتنابه، وبعد.

LATARBELAKANG

  1. Jawatankuasa Fatwa menerima soalan daripada hospital KKH pada tarikh 12 Oktober 2016, berkaitan perancangannya untuk menubuhkan Bank Susu di KK Women’s and Children’s Hospital (KKH). Pihak hospital berusaha untuk mendapatkan maklumbalas daripada pelbagai pihak berkaitan penubuhan bank susu tersebut di Singapura.

  2.  Soalan yang diajukan kepada Jawatankuasa Fatwa adalah untuk mengenalpasti perspektif hukum Islam dalam isu ini, dan sama ada bayi pramatang Muslim boleh memanfaatkan susu yang diproses bank susu tersebut.

  3. Menurut Penguatkuasa Imigresen dan Pemeriksaan (ICA), berdasarkan data pada tahun-tahun lalu, terdapat secara purata 42,000 jumlah kelahiran setiap tahun di Singapura.Kadar kelahiran dari keluarga penduduk Melayu adalah 12.4/1000 penduduk, beranggaran sebanyak 6,500 kelahiran setiap tahun. Daripada jumlah ini, sekitar 600 (9.5%) kelahiran adalah pramatang. Sebilangan besar daripada bayi-bayi tersebut memerlukan rawatan di Unit Penjagaan Rapi Neonatal (NICU), pada setiap tahun.

  4. Menurut pihak hospital, dapatan kajian sains membuktikan bahawa susu ibu merupakan pilihan optima buat pemakanan bayi. Akademi Pediatrik Amerika telah menyatakan di dalam kenyataan polisinya bahawa “Kelebihan yang terdapat pada susu manusia menjadikannya pilihan utama bagi bayi-bayi pramatang. Sekiranya si ibu tidak dapat menghasilkan susu meskipun terdapat sokongan laktasi, ketika itu susu penderma yang telah dipasturisasi perlu digunakan”. Pandangan ini juga disokong oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan UNICEF yang telah mengeluarkan kenyataan bersama dan mengatakan bahawa, "Sekiranya ibu biologi tidak dapat menghasilkan susu badan, pilihan yang utama, sekiranya ada, perlu digunakan susu manusia daripada sumber yang lain. Bank Susu Manusia seharusnya ditubuhkan sekiranya situasinya sesuai.” Susu daripada Bank Susu hospital KK akan ditawarkan kepada bayi yang berusia 34 minggu ke bawah setelah mendapatkan keizinan daripada kedua ibu bapa. Pemberian susu akan dihentikan ketika umur bayi tersebut menjangkau 34 minggu dan/atau telah mencapai berat badan 1.8 kg, serta tiada komplikasi kesihatan yang lain. Ia akan dihentikan pada masa yang lebih awal sekiranya ibu kepada bayi tersebut menghasilkan susu badan yang mencukupi. Pihak hospital juga akan menasihati dan memberi panduan kepada para ibu berkaitan penghasilan bekalan susu. Sekiranya si ibu tetap tidak berjaya menghasilkan susu badan yang memadai sewaktu bayinya dikeluarkan daripada wad penjagaan, ketika itu susu formula bayi akan digunakan, ini adalah kerana setelah 34 minggu, risiko melalui penyusuan formula semakin berkurangan. Sepanjang penjagaan bayi di unit rawatan rapi, ibu bapa mempunyai pilihan untuk menghentikan penyusuan susu derma kepada bayi mereka, pada bila-bila masa sahaja.

    PROSES PENGHASILAN

  5. Pihak hospital memaklumkan bahawa pihaknya menuruti piawaian yang ketat bagi memastikan susu yang diprosesnya selamat untuk diminum. Ia bermula dengan pemeriksaan kesihatan yang perlu dilalui penderma susu. Pemeriksaan tersebut bertujuan untuk memastikan bahawa dirinya sihat serta bebas daripada sebarang jangkitan kuman dan virus seperti HIV, Hepatitis B dan sebagainya. Susu yang dihasilkan penderma pula akan melalui proses pasturisasi. Ia akan dipanaskan sehingga suhu 62.5 darjah selsius untuk membunuh segala bakteria yang ada tanpa menghapuskan zat tumbesaran pada susu tersebut. Setelah itu, susu tersebut akan melalui proses pemeriksaan makmal untuk dipastikan sekali lagi bahawa ia bebas daripada sebarang kuman dan bakteria.

  6. Untuk mengelakkan daripada berlakunya pencemaran (cross-contamination) dengan susu lain yang mengandungi bakteria dan kuman, pihak hospital memastikan bahawa susu-susu yang terkumpul daripada keseluruhan penderma tidak akan dicampur antara satu dengan yang lain. Susu daripada seorang penderma akan dikumpulkan untuk diproses secara berkumpulan apabila ia mencapai jumlah 2 hingga 3 liter.

  7. Pihak hospital juga memaklumkan bahawa rekod serta data peribadi penderma dan penerima akan disimpan sekurang-kurangnya selama 21 tahun. Data peribadi tersebut dikategorikan sebagai maklumat sulit dan tidak akan didedahkan kecuali bagi tujuan klinikal. Seperti apabila terdapat keperluan untuk mengesan penerima dan penderma sekiranya berlaku sebarang pencemaran.

    CARA PENYUSUAN

  8. Maklumat yang dikongsikan dengan Jawatankuasa Fatwa adalah susu yang diberikan kepada bayi pramatang akan diambil daripada bank susu, sekiranya ibunya tidak dapat menghasilkan susu badan. Bank susu juga akan mengumpulkan susu yang diderma pada botol-botol berkadar 50ml. Susu pada botol yang telah dipasturisasi akan diberikan kepada keseluruhan bayi yang berada di wad NICU ketika itu. Kadar yang diberikan kepada setiap bayi juga berbeza mengikuti keadaan dan umur kelahirannya. Pada biasanya, bayi-bayi pramatang akan diberi penyusuan bermula dengan kadar yang rendah, sebanyak 1-2ml pada setiap 2 hingga 3 jam. Jumlah ini akan ditambah secara bertahap mengikut kemampuan bayi serta kesediaannya menerima kadar yang mengenyangkan, iaitu dianggarkan sekitar 12ml sehingga 15ml bagi setiap penyusuan bagi seorang bayi yang memiliki berat badan 1kg.

  9. Susu yang diberi kepada bayi pramatang yang berusia kurang daripada 32 minggu adalah melalui saluran tiub yang dimasukkan melalui hidung bayi. Pada minggu 32-34, percubaan penyusuan melalui mulut akan dimulakan. Percubaan ini bertujuan untuk melatih bayi yang pada ketika itu mungkin masih belum bersedia untuk menerima keseluruhan penyusuan melalui mulut.

    PERTIMBANGAN JAWATANKUASA FATWA

  10. Dalam membahas isu hukum bank susu serta kesannya, Jawatankuasa Fatwa akur bahawa isu ini berhubungkait dengan status mahramīyāh yang boleh terhasil daripada penyusuan. Kerana itu, Jawatankuasa Fatwa telah meneliti beberapa pendapat ulama berkaitan isu mahramīyāh melalui penyusuan bank susu seperti berikut:

    • Pendapat yang tidak membenarkannya. Ia merupakan pendapat Mufti Negeri Selangor1 dan Majma’ Fiqh.2
    • Pendapat yang kedua: Membataskan keharusan pada situasi darurat. Ia merupakan pendapat Mufti Wilayah Persekutuan.3
    • Pendapat yang ketiga: Membenarkan pendermaan susu serta penubuhan bank susu secara mutlaq. Ia merupakan pendapat beberapa ulama.4

  11. Beberapa permasaalahan yang berhubungkait dengan isu mahramīyāh turut sama diteliti Jawatankuasa Fatwa, seperti berikut:

    1. Jumlah dan kadar penyusuan.
    2. Isu ketidakpastian (jahālāh).
    3. Cara penyusuan

    a. Jumlah dan kadar penyusuan
  12. Maklumat yang diperolehi Jawatankuasa Fatwa menunjukkan bahawa walaupun pihak hospital boleh mengesan identiti penderma, pemberian susu kepada bayi pramatang tidak akan dibataskan kepada satu penderma bagi setiap bayi. Bahkan pihak hospital akan memberikan susu seorang penderma kepada beberapa bayi yang ada di wad tersebut, sehinggalah susu tersebut selesai. Contohnya, susu penderma yang telah diproses akan disimpan dalam botol yang mengandungi 50ml susu. Kadar ini akan dibahagikan buat penyusuan bayi sepanjang hari. Ini bermakna meskipun bayi tersebut bersedia untuk menerima penyusuan penuh, ia akan hanya menerima 2-3 penyusuan penuh daripada seorang penderma. Ini bermakna bahawa seorang bayi pramatang akan menerima susu daripada pelbagai penderma sepanjang beliau berada dalam wad penjagaan rapi neonatal, tanpa mengetahui jumlah penyusuan yang diperolehinya daripada setiap penderma. Sekiranya si ibu berjaya menghasilkan susu, susu ibunya akan diberikan dahulu, dan hanya bilangan tambahan yang diperlukan akan diperolehi melalui Bank Susu.

     

  13. Berdasarkan maklumat yang diterima Jawatankuasa Fatwa daripada pihak hospital, setiap bayi dianggarkan akan mendapat susu daripada lebih kurang 20 orang wanita sepanjang keberadaannya di wad NICU, iaitu sekitar sebulan.

     

    b. Isu ketidakpastian (jahālāh)

     

  14. Status keraguan yang wujud pada identiti penderma susu dan juga keraguan pada jumlah penyusuan dan kadar susu yang didermakan, boleh menjadi punca yang menghalang daripada wujudnya pertalian hubungan mahram antara penderma dan bayi pramatang. Imām As-Syāfi’e menyatakan di dalam kitabnya Al-Umm berkaitan syak “atau keraguan” yang berlaku pada penyusuan:

     

    Yang bermaksud: Sekiranya seorang lelaki meragui sama ada seorang wanita telah menyusukannya sebanyak lima kali susuan, ketika ini beliau tidak menjadi mahram kepada wanita tersebut. Begitu juga sekiranya beliau yakin bahawa lima kali penyusuan telah berlaku, akan tetapi beliau meragui adakah ia berlaku semasa beliau berusia dua tahun [ke bawah], ketika ini mahramīyāh juga tidak berlaku, berdasarkan pendapat yang rajih.5

     

  15. Ibn Qudāmāh daripada mazhab Hanbali menyatakan:

     

     Yang bermaksud: Ketika berlaku syak sama ada penyusuan telah berlaku ataupun syak pada kadar penyusuan yang boleh mengakibatkan mahramīyāh, adakah jumlahnya mencukupi ataupun sebaliknya? [Ketika itu] tidak sabit hubungan mahramīyah, kerana hukum asalnya adalah [mahramīyāh] tidak berlaku, ketika itu tidak boleh berpindah daripada suatu hukum yang yakin berdasarkan suatu keraguan, sepertimana seseorang yang meragui sama ada [beliau telah] menceraikan [isterinya] ataupun pada jumlah penceraian.6

     

  16. Menurut fatwa yang dikeluarkan Dār al-Iftā’ Mesir pada tahun 1983, selagimana terdapat keraguan pada identiti penderma, pada ketika itu hubungan mahramīyāh tidak akan terhasil antara penderma dengan bayi tersebut.7 Teks fatwa tersebut menjelaskan tentang susu yang dikumpulkan daripada sejumlah wanita yang mana identiti mereka dan jumlah susu yang sebenar tidak diketahui. Susu tersebut juga telah dicampur antara satu dengan yang lain. Antara teks fatwa tersebut adalah seperti berikut:

     

    فالنصوص الفقهية واضحة في أنه لا مانع من الزواج بين الصغيرين اللذين تناولا هذا اللبن من الوجهة الشرعية؛ لعدم إمكان إثبات التحريم في حالة عدم تعيين السيدة، أو السيدات اللائي ينسب إليها، أو إليهن لبن الرضاعة. أما في حالة تبريد اللبن وبقائه من شهرين أو ثلاثة صالحاً للتناول، أو إعطائه للأطفال بحالته الطبيعية – فإن عامل الجهالة يبقى دائماً أيضا، ومن ثم لا يكون هناك مانع من الزواج بين أبناء الرضاع.

    Yang bermaksud: Teks fiqh dengan jelas menetapkan bahawa pernikahan dibolehkan dari segi syarak, antara dua anak kecil yang telah minum daripada susu tersebut. Atas dasar tiada kemungkinan tersabitnya pertalian mahramīyāh, ketika wanita ataupun sekumpulan wanita [yang menderma susu itu] tidak dikenalpasti, untuk dinisbahkan susu tersebut kepadanya ataupun kepada mereka. Adapun bagi situasi di mana susu itu telah dibekukan, serta disimpan selama dua ataupun tiga bulan agar ia tetap elok untuk diminum, walaupun sekiranya ia diberikan kepada bayi tersebut dalam keadaanya yang asli, faktor keraguan (jahālāh) tetap berlaku. Maka pada ketika itu, tiada halangan untuk bernikah antara dua adik beradik susuan.

  17. Pendapat Dār al-Iftā’ Mesir adalah berdasarkan pendekatan mazhab Hanafiyang menetapkan hubungan mahram itu hanya akan berlaku sekiranya tiada keraguan pada status penderma dan jika susu tersebut juga tidak bercampur dengan bahan yang lain ataupun dengan susu penderma lain.

    c. Cara penyusuan.
  18. Berdasarkan maklumat yang diterima daripada pihak hospital, bayi pramatang diberi susu melalui saluran tiub yang dimasukkan melalui hidung bayi. Percubaan penyusuan melalui mulut hanya akan bermula selepas bayi itu berumur 32 minggu dengan kadar yang kecil. Ini merupakan antara isu yang telah dibahaskan ulama. Walaupun kebanyakkan ulama seperti ulama mazhab Syāfī’e9 dan Hanafi10 menetapkan bahawa segala cara penyusuan boleh mengakibatkan mahramīyāh, terdapat beberapa pendapat ulama yang berbeza. Sebahagian ulama meneliti maksud Surah al-Nisa’ ayat 23:

     

    Yang bermaksud: …Dan ibu-ibu kamu adalah mereka yang telah menyusukan kamu. [Surah An-Nisa’: 23].

  19. Menurut mereka, hanya penyusuan secara langsung daripada payudara seorang wanita sahaja yang akan menyebabkan penetapan mahramīyāh. Ini adalah kerana istilah “ummahātukum” pada ayat tersebut terkait dengan konsep keibuan secara keseluruhan yang meliputi penyusuan dan juga perasaan kasih antara ibu dan bayi yang terbit daripada penyusuan secara langsung. Oleh itu, mereka berpandangan bahawa tanpa kedua aspek tersebut, ia bukanlah dikira sebagai ikatan penyusuan (raḍā’ah) yang mengharamkan antara mereka.

    KEPUTUSAN FATWA

  20. Berdasarkan penjelasan pihak hospital berkenaan keperluan bayi pramatang kepada susu badan, bagi mendapat peluang hidup serta untuk membesar, Jawatankuasa Fatwa berpandangan bahawa ia merupakan satu kesukaran (masyaqqāh) besar yang menimbulkan hājāh atau keperluan bagi bayi-bayi sedemikian. Untuk itu, Jawatankuasa Fatwa berpandangan bahawa perancangan penubuhan bank susu adalah suatu inisiatif yang selari dengan objektif Sharī’āh (maqasid sharī’āh) yang antaranya menitikberatkan pemeliharaan nyawa insan. Prinsip-prinsip di dalam Islam mengenai perkara ini amat jelas, seperti yang terangkum di dalam kaedah-kaedah fiqh berikut:

    1. الضرر يزال12         

      Yang bermaksud: Sesuatu kemudaratan itu [mesti] dihilangkan.

    2. المشقة تجلب التيسير 13

      Yang bermaksud: Kesukaran [pada sesuatu perkara] menyebabkan [pengambilan] keringanan.

    3. اذا ضاق الامر اتسع14

    Yang bermaksud: Apabila keadaan menjadi sempit, maka [hukumnya] diperluaskan.

  21. Mengenai isu penetapan mahramīyāh, Jawatankuasa Fatwa menegaskan prinsip bahawa mahramīyāh diantara seorang bayi dan ibu susuannya hanya disabitkan sekiranya memenuhi syarat-syarat yang dinyatakan di dalam fiqh15 dan tidak terdapat sebarang keraguan padanya.

  22. Jawatankuasa Fatwa berpendapat bahawa penyusuan daripada bank susu seperti yang dirancangkan penubuhannya di Hospital KKH, tidak mengakibatkan mahramīyāh. Ini adalah disebabkan beberapa dasar dan gabungan faktor seperti berikut:

    • Keterbatasan maklumat berkaitan identiti penderma.
    • Tidak berkemampuan untuk mengenalpasti jumlah serta kadar penyusuan seorang bayi pramatang daripada seorang penderma, untuk menetapkan sama ada tsabit mahramīyāh ataupun tidak.
    • Pemberian susu badan kepada bayi pramatang tidak dilakukan melalui penyusuan secara langsung tetapi melalui kaedah yang lain.
    • Ketidakpastian pada kadar susu yang mengenyangkan bayi pramatang tersebut, memandangkan susu yang diterimanya adalah dalam kadar yang sedikit.
    • Tujuan penyusuan melalui bank susu adalah bagi tujuan pencegahan daripada penyakit-penyakit serius dan membangun sistem penghadaman.
  23. Berdasarkan pertimbangan di atas, maka Jawatankuasa Fatwa memutuskan bahawa bayi pramatang daripada keluarga Muslim di Singapura boleh memanfaatkan susu yang diproses bank susu tersebut. Ia tidak menimbulkan pertalian mahramīyāh kerana gabungan beberapa faktor dan keraguan yang berlaku padanya.

الله أعلم ، وبالله التوفيق ، وصلى الله على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم.

 

DR MOHAMED FATRIS BIN BAKARAM
PENGERUSI, JAWATANKUASA FATWA
MUFTI NEGARA SINGAPURA
MAJLIS UGAMA ISLAM SINGAPURA



[5] As-Syāfi’e, Al-Umm, Beirut, Dār Al-Ma’rifāh, Juz.5, hlmn.33

[6] Ibn Qudāmāh Al-Maqdisī, Al-Mughnī, Makatabāh Qāhirāh, Juz.8, hlmn.17

[9] Taqyu Ad-Dīn As-Syāfi’e, Kifāyāh Al-Akhyār Fī Hilī Ghāyāh Al-Ikhtiṣār, Damascus, Dār Al-Khāir, Juz.1, hlmn.435

[10] Badru Ad-Dīn Al-‘Ainī, Al-Bidāyāh Sharh Al-Hidāyāh, Beirut, Dār Al-Kutub Al-‘Ilmiyyāh, Juz.5, hlmn.217

[12] As-Suyūṭī, Al-Ashbāh wa An-Naẓāir, Dār As-Salām, Juz.1, hlmn.208

[13] Ibid, Juz.1, hlmn.194

[14] Ibid, Juz.1, hlmn.208

[15] Seperti: 1) Bilangan susu hendaklah mencapai sekurang-kurangnya lima kali penyusuan yang mengenyangkan, 2) Susu yang dihisap mestilah sampai ke perut bayi; dan 3) umur bayi tidak melebihi dua tahun mengikut perkiraan bulan Qamaryyīāh. Sila lihat: Wahbāh Zuhailī, Fiqh Islāmī Wa Adillatuhu, Damascus, Dār Al-Fikr, Juz.10, hlmn.7283