A Singapore Government Agency Website

Office of the Mufti

Fatwa on Exhumation 1973 - Malay

AKTA PENTADBIRAN HUKUM ISLAM

(BAB 3, BAHAGIAN 32)

FATWA YANG DIKELUARKAN

OLEH

JAWATANKUASA FATWA, MAJLIS UGAMA ISLAM SINGAPURA

 
Soalan: 

Apakah hukumnya jika sebuah kawasan perkuburan Islam yang telah lama tidak digunakan sejak 50 tahun diambil untuk projek pembinaan dan kubur-kubur itu digali. Saki baki mayat dikebumi semula di perkuburan Islam yang lain (dipindahkan)?

         

Jawapan:

1.       Hukumnya harus dengan syarat penggalian itu untuk maslahat bagi yang meninggal dunia atau bagi yang hidup. Keterangannya sepertimana yang tersebut dalam 2 hadis yang membolehkan mayat itu digali.

  1. Hadis pertama: Dari Kitab Fathul Bari, Juz 3 muka surat 457 dan 458. Dari Jabir (r.a.) telah berkata: Bahawa Rasulullah s.a.w telah datang pada jenazah Abdullah bin Ubay sesudahnya dia dimasukkan ke dalam kubur lalu Rasulullah s.a.w. menyuruh supaya digali kuburnya kemudian meletakkan mayat Abdullah di atas ribanya dan disembur, kemudian Nabi s.a.w. memakaikan bajunya dan kemudian dikebumi semula”.

  2. Hadis kedua:Daripada Jabir (r.a.) telah berkata, semasa peperangan Uhud, bapaku telah memanggilku pada suatu malam hari dan berkata: Aku percaya yang aku akan mula-mula mati daripada sahabat-sahabat Nabi dalam peperangan Uhud ini dan aku tidak akan meninggalkan seorang yang lebih kukasihi seperti engkau kecuali diri Rasulullah s.a.w– dan aku ada hutang hendaklah engkau bayarkan, aku wasiatkan hendaklah engkau berbuat baik kepada adik-adik perempuan engkau”. 

Pada keesokkan harinya aku dapati dia di antara yang telah mati. Kemudian mayat itu dikebumi dengan seorang mayat lain di dalam satu kubur. Aku tidak sedap hati untuk meninggalkan dia dalam kubur itu bersama-sama mayat orang lain, setelah 6 bulan aku gali semula dan aku perintahkan supaya ia dikebumi di perkuburan yang lain.

Dari kedua-dua hadis tadi, maka teranglah dalil untuk menggali mayat orang-orang Islam yang telah dikuburkan.

Jawatankuasa Fatwa bersetuju atas penggalian dan penanaman semula jenazah orang-orang Islam dengan syarat ada maslahat untuk si mati atau yang hidup.

Keputusan Fatwa 28 April 1973

SYED ISA BIN MOHAMMED BIN SMITH
PENGERUSI, JAWATANKUASA FATWA
MUFTI NEGARA SINGAPURA
MAJLIS UGAMA ISLAM SINGAPURA