Fatwa on Performing Friday Prayer Post Pandemic (Malay)

AKTA PENTADBIRAN HUKUM ISLAM
(BAB 3, BAHAGIAN 32)
 
FATWA YANG DIKELUARKAN

OLEH

JAWATANKUASA FATWA, MAJLIS UGAMA ISLAM SINGAPURA

 

Jawatankuasa Fatwa telah membincangkan soalan berkaitan pelaksanaan solat Jumaat pasca pandemik di Singapura pada 12 Mei 2022

FATWA

بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله رب العالمين ، والصلاة والسلام على سيد المرسلين وإمام المتقين نبينا محمد وعلى آله وأصحابه أجمعين.  اللهم أرنا الحق حقا وارزقنا اتباعه، وأرنا الباطل باطلا وارزقنا اجتنابه  وبعد.

LATAR BELAKANG

1. Semenjak bulan Jun 2020, Jawatankuasa Fatwa telah mengeluarkan beberapa keputusan fatwa1 berkaitan pelaksanaan ibadah solat berjemaah di masjid semasa pandemik. Semua keputusan fatwa tersebut mengambil kira situasi semasa serta langkah-langkah keselamatan yang ditetapkan ketika itu oleh pihak berkuasa. Ia bagi memastikan amalan keagamaan di masjid-masjid kekal selamat, sekaligus melindungi para jemaah masjid secara khusus serta keselamatan masyarakat awam secara umum daripada risiko jangkitan COVID-19.

2. Pelbagai kajian dan penyelidikan untuk membendung penularan wabak ini telah dikenalpasti. Ianya membantu pihak berkuasa menetapkan langkah yang sesuai untuk melindungi masyarakat awam. Kini, kehidupan masyarakat di Singapura beransur kembali seperti sediakala secara bertahap-tahap. Singapura telah melonggarkan beberapa langkah keselamatan sejak ia berpindah daripada DOSCORN (Sistem Respons Keadaan Penularan Penyakit) tahap ‘Jingga’ ke DOSCORN tahap ‘Kuning’ pada 26 April 2022.2

3. Ekoran daripada pengumuman tersebut, beberapa keputusan fatwa yang telah dikeluarkan sepanjang tempoh pandemik lalu perlu disemak semula. Pada masa sama pengajaran yang telah diraih sepanjang tempoh pandemik perlu diambilkira. Sebahagian keputusan fatwa didapati masih lagi relevan dan perlu dikekalkan demi memastikan kebajikan dan kesejahteraan masyarakat dapat terus dipelihara dengan sebaiknya.

4. Berdasarkan penelitian yang dijalankan oleh Kelompok Pembangunan Masjid dan Masyarakat (MCM), terdapat beberapa buah masjid  yang mengalami kesesakan jemaah pada waktu solat Jumaat dan dua solat Hari Raya. Jumlah jemaah melebihi had kapasiti ruang selamat yang ditetapkan dalam masjid. Had kapasiti jemaah perlu ditetapkan bagi memastikan ruang selamat para jemaah serta mengelakkan sebarang kesulitan serta timbulnya isu keselamatan. Kesesakan yang berlaku di masjid-masjid sebelum pandemik perlu dielakkan, kerana ia boleh menimbulkan masalah terutama sekali apabila berlaku keadaan kecemasan di masjid (seperti kebakaran atau bantuan kecemasan kesihatan bagi jemaah yang sakit).

5. Atas dasar tersebut, Kelompok Pembangunan Masjid dan Masyarakat (MCM) mengemukakan soalan berikut kepada Jawatankuasa Fatwa:

i)     Adakah solat Jumaat boleh dilakukan lebih dari sekali di sesebuah masjid jika terdapat keperluan bagi memastikan ibadah solat Jumaat dapat terus dilaksanakan dengan selamat?

PRINSIP-PRINSIP UTAMA

6. Dalam mempertimbangkan persoalan di atas, Jawatankuasa Fatwa memberi penumpuan kepada beberapa perkara berikut:

Menampung Jumlah Jemaah yang Ramai bagi Sesebuah Masjid

7. Sepanjang tempoh pandemik, masjid-masjid di Singapura telah mengendalikan sesi solat Jumaat lebih dari sekali. Langkah ini diperkenalkan berpandukan kepada keputusan fatwa yang membolehkan solat Jumaat untuk ditunaikan lebih dari sekali demi memberi peluang dan ruang kepada lebih ramai kaum Muslimin untuk melaksanakan solat Jumaat.3

8. Perbahasan berkaitan pelaksanaan solat Jumaat lebih dari sekali (taaddud al-Jumuah) bukanlah satu isu yang baru. Para ulama telah membincangkannya secara terperinci. Walaupun terdapat pendapat ulama (khususnya di dalam mazhab al-Shafi‘i) yang menegaskan bahawa solat Jumaat pada satu kawasan hanya boleh dilaksanakan sekali sahaja di satu masjid (masjid jāmi‘),4 akan tetapi sekiranya terdapat keperluan dan kesukaran yang diiktiraf oleh syarak seperti keterbatasan tempat, maka para ulama (termasuk juga ulama Mazhab al-Shafi’i)5 berpandangan bahawa solat Jumaat boleh dilakukan di beberapa tempat bagi memudahkan umat Islam untuk menunaikannya.6 Hampir seluruh masyarakat Islam sedunia mengamalkan perkara ini pada hari ini.

9. Atas dasar itu, Jawatankuasa Fatwa pada tahun 1996 telah mengeluarkan fatwa dan membolehkan solat Jumaat yang ditunaikan di penjara, untuk dilaksanakan lebih dari sekali, mengambil kira keterbatasan ruang dan juga mengambil kira aspek keselamatan.7

KEPUTUSAN JAWATANKUASA FATWA

10. Melihat kepada situasi yang berlaku di sebahagian masjid di Singapura hari ini, Jawatankuasa Fatwa akur dengan keperluan huraian jangka panjang kepada permasalahan yang dijelaskan oleh pihak Kelompok Pembangunan Masjid dan Masyarakat. Ia bagi memastikan kemaslahatan dan keselamatan masyarakat semasa beribadah di masjid dapat terus dipelihara dengan sebaiknya.8 Perkara ini harus diambil berat, khusus setelah umat Islam mengalami krisis pandemik, yang jelas menunjukkan perlunya perancangan yang rapi dalam mengendalikan ibadah berjemaah dengan jumlah jemaah yang ramai demi memastikan keselamatan dan kesejahteraan semua. Ia bukan sesuatu yang boleh diambil ringan atau tidak diberikan keutamaan. Bahkan dasar agama adalah jelas bagi mengangkat kesukaran (رفع الحرج) buat manusia. Firman Allah :

Yang bermaksud: “Dan tidak Dia menjadikan ke atas kamu kesusahan dalam agama.” (Surah al-Hajj, ayat 78)

11. Berdasarkan kepada pertimbangan di atas, Jawatankuasa Fatwa memutuskan bahawa solat Jumaat boleh dilaksanakan lebih dari satu sesi di masjid, sekiranya terdapat keperluan yang telah dikenalpasti. Hukum ini dikhususkan bagi masjid-masjid yang mengalami kesesakan jemaah ketika solat Jumaat melebihi had kapasiti selamat yang telah dikenalpasti oleh setiap masjid, sepertimana yang dibincangkan di atas.  Ia bagi: 1) mengelakkan kesesakan kerana kesesakan boleh membawa kemudaratan dalam konteks masakini; 2) memastikan bahawa jemaah masjid dapat menunaikan solat Jumaat dengan selamat; 3) menghindari daripada kemudaratan yang boleh berlaku sekiranya berlaku kecemasan, dan 4) menyediakan ruang beribadah yang mencukupi untuk masyarakat Islam di Singapura.

12. Pendapat ini bukan suatu yang baru, bahkan  pernah dikeluarkan oleh Dār al-Iftā’ al-Miṣriyyah9 serta European Council for Fatwa and Research (ECFR) atau Majlis Fatwa dan Kajian Eropah.10 Fatwa tersebut bertujuan memberi peluang kepada lebih ramai anggota masyarakat untuk menunaikan solat Jumaat dalam keadaan selamat.

13. Keputusan fatwa ini dapat memberi ruang yang mencukupi bagi semua kaum Muslimin di Singapura untuk menunaikan solat Jumaat dengan selamat. Ia bermakna, tiada lagi kelonggaran (rukhsah) untuk meninggalkan solat Jumaat pasca pandemik, melainkan bagi mereka yang sememangnya diberi keringanan oleh syarak untuk tidak menunaikan solat Jumaat pada waktu-waktu biasa, seperti seorang yang hilang akal, sakit kronik dan sebagainya.11

PENUTUP

14. Jawatankuasa Fatwa ingin menasihatkan setiap individu agar memainkan peranan dan tanggungjawab agamanya di dalam membantu dan menyokong antara satu sama lain di dalam mendirikan kewajipan solat Jumaat. Digalakkan bagi individu yang berkelapangan atau tidak bertugas untuk memenuhi kekosongan ruang solat di masjid-masjid lain, atau menunaikan solat Jumaatnya pada sesi kedua.

15. Jawatankuasa Fatwa ingin mengingatkan juga bahawa perubahan hukum akan sentiasa mengambil kira perkembangan situasi dan keadaan. Ia sejajar dengan kaedah fiqh (لا ينكر تغير الأحكام بتغير الأزمان) yang bermaksud:  “Tidak diingkari perubahan hukum sesuai dengan perubahan zaman”.12 Sekiranya keadaan wabak kembali menjejas Singapura dan langkah-langkah keselamatan diperketatkan semula, maka keputusan fatwa-fatwa terdahulu akan dirujuk semula sesuai dengan langkah-langkah keselamatan baru yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

16. Kita panjatkan rasa syukur ke hadrat Ilahi di atas limpah rahmat dan kurniaan-Nya, aktiviti-aktiviti keagamaan di masjid-masjid dapat berjalan dengan sempurna dan selamat. Kaum Muslimin pula perlu melaksanakan kewajipan solat Jumaat dengan sebaik mungkin. Semoga Allah mengurniakan kesejahteraan serta keselamatan untuk semua

والله أعلم

والله ولي التوفيق، وصلى الله على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم.

 

DR NAZIRUDIN MOHD NASIR
PENGERUSI, JAWATANKUASA FATWA
MUFTI NEGARA SINGAPURA


[1] Keputusan Fatwa bertarikh 16 Jun 2020:

1)     Jurang selamat yang wujud untuk mengelakkan jangkitan COVID-19 tidak menjejas sahnya solat berjemaah, bahkan diperlukan;

2)     Golongan yang dikecualikan daripada kewajipan menunaikan solat Jumaat adalah seperti berikut:

a)     Golongan warga emas;

b)     Golongan yang menghidapi penyakit kronik;

c)     Golongan yang khuatir akan dijangkiti penyakit ke atas dirinya atau ahli keluarganya, khususnya bagi mereka yang tinggal bersama ahli keluarga yang sudah berumur ataupun bersama mereka yang menghidapi penyakit kronik dan sebagainya;

d)     Mereka yang cuba mendaftar tetapi tidak berjaya untuk mendapatkan tempat menunaikan solat Jumaat.

3)     Solat Jumaat berulang kali di sesebuah masjid dibolehkan, kerana mengambilkira keterbatasan ruang di dalam masjid, untuk memberi peluang kepada lebih ramai anggota masyarakat untuk sama-sama menunaikan solat Jumaat mereka.

4)     Solat Jumaat boleh ditunaikan sebelum matahari tergelincir (zawāl) sekiranya perlu.

https://www.muis.gov.sg/officeofthemufti/Fatwa/Fatwa-Covid-19-Malay

[2] Langkah-langkah keselamatan dilonggarkan: (i) penjarakkan selamat tidak lagi diperlukan, (ii) had saiz kumpulan ditiadakan, (iii) pemakaian pelitup tidak diwajibkan di luar, (iv) semua pekerja dibenarkan kembali ke tempat kerja, tiada had kapasiti lagi bagi semua acara. Sila lihat: The Straits Times, “Singapore announces major easing of Covid-19 rules from April 26: What you need to know”, https://www.straitstimes.com/singapore/singapore-announces-major-easing-of-covid-19-rules-from-april-26-what-you-need-to-know, telah diterbitkan pada 22 April 2022.

[4] Al-Nawawī, Al-Majmū‘, (Jeddah: Maktabah al-Irsyād, t.t.), 4:456; Lihat juga, Al-Mufliḥ, Al-Mubdi‘, (Riyāḍ: Dār ‘Ālam al-Kutub, t.t.), 2:151-152.

[5] Al-Umrānī, Al-Bayān fī Madhab al-Imām al-Shāfi’ī, (Beirūt: Dār al-Minhāj, 2000), 2:619-621.

[6] Al-Shirbīnī, Mughnī al-Muhtāj, (Beirūt: Dār al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1994), 1:543-544; Ibn ‘Ᾱbidīn, Rad al-Muḥtār, (Riyāḍ: Dār ‘Ālam al-Kutub, 2003), 3:16; al-Mardāwī, Al-Inṣāf, (Beirūt: Dār al-Iḥyā al-Turāth al-‘Arabī, t.t.), 2:400-401.

[7] Keputusan Fatwa Muis 18 Jun 1996:

Oleh kerana terdapat halangan yang tidak dapat dielakkan untuk mengadakan solat Jumaat sekali sahaja, maka Jawatankuasa Fatwa memutuskan bahawa solat Jumaat di dalam keadaan sedemikian boleh diadakan dua kali.”

[8] Mengadakan beberapa sesi bagi solat Jumaat dalam situasi pandemik ataupun jika terdapat keperluan, ia termasuk dalam Maqāṣid al-Sharī’ah yang bertujuan untuk mengelakkan kerosakan (Mafsadah) yang telah berlaku serta yang berpotensi berlaku bagi merealisasikan kemaslahatan manusia. Ini yang dimaksudkan dengan Fiqh al-Ma’āl / Fiqh al-Tawaqqu’ yang telah dibincangkan oleh ulama silam seperti Imām al-Shāṭibī dan Imām al-Qarāfī serta ulama kontemporari seperti Sheikh Abdullah bin Bayyah. Sila lihat:  Al-Shāṭibī, Al-Muwāfaqāt, (Kaherah: Dār Ibn Affān, 1997) 5:178; Al-Qarāfī, Al-Furūq, (Kaherah: Dār al-Salām, 2001), 2:450; Ibn Bayyah, Al-Ijtihād bi Taḥqīq al-Manāṭ – Fiqh al-Wāqi’ wa al-Tawaqqu’, (Abū Dhabī: Muassasah al-Ṭābah, 2014), 26; Aḥmad al-Raysūnī, Naẓariyyah al-Maqāṣid ‘inda al-Imām al-Shāṭibī, (Virginia: Al-Ma‘had al-‘Ālamī li al-Fikr al-Islāmī, 1995), 19.

[9] Dār al-Iftā’ al-Miṣriyyah, https://www.dar-alifta.org/Home/viewfatwa?ID=12249

[10] Al-Qarārāt wa al-Fatāwā al-Ṣādirah an al-Majlis al-Urubbī li al-Iftā’ wa al-Buhūth, (t.tp.: t.pt., t.t.), 305.

[11] Contoh-contoh keuzuran syarak boleh dirujuk di dalam kitab-kitab fiqh berkaitan permasalahan rukhsah solat Jumaat. Contoh kitab Al-Nawawī, Al-Majmū’, (Jeddah: Maktabah al-Irsyād, t.t.); Al-Zuḥaylī, Al-Fiqh al-Islāmī wa Adillatuh, (Damshiq: Dār al-Fikr, 1985).

[12] Al-Zarqā, Sharh al-Qawā'id al-Fiqhiyyah, (Damshiq: Dār al-Qalam, 1989), 227.