AKTA PENTADBIRAN HUKUM ISLAM (BAB 3, BAHAGIAN 32)

FATWA YANG DIKELUARKAN

OLEH

JAWATANKUASA FATWA, MAJLIS UGAMA ISLAM SINGAPURA

 

Jawatankuasa Fatwa telah membincangkan berkaitan keharusan Lasting Power of Attorney pada mesyuarat fatwa yang ke-14 pada 27 November 2018 dan ke-16 pada 12 Mac 2019.

FATWA

بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله رب العالمين ، والصلاة والسلام على سيد المرسلين وإمام المتقين نبينا محمد وعلى آله وأصحابه أجمعين.  اللهم أرنا الحق حقا وارزقنا اتباعه، وأرنا الباطل باطلا وارزقنا اجتنابه، وبعد.

LATARBELAKANG

1.       Jawatankuasa Fatwa menerima pertanyaan daripada Fakulti Undang-undang, Universiti Kebangsaan Singapura1 melalui surat bertarikh 30 Ogos 2018, berkaitan Surat Kuasa Berkekalan (Lasting Power of Attorney, LPA) dari sudut hukum Islam.

2.       Berdasarkan soalan yang diajukan, Surat Kuasa Berkekalan (LPA) merupakan sebuah dokumen perundangan yang memberi peluang kepada individu yang dikenali sebagai pemberi kuasa (Donor) untuk melantik penerima kuasa (Donee) bagi menguruskan perkara-perkara rasmi bagi pihak pemberi kuasa (Donor) secara sah. Sehubungan dengan itu, pihak yang bertanya mengemukakan persoalan kepada Jawatankuasa Fatwa sama ada Surat Kuasa Berkekalan (LPA) selari dengan hukum Islam ataupun tidak.

 

LATARBELAKANG LASTING POWER OF ATTORNEY (LPA)

3.       Surat Kuasa Berkekalan (Lasting Power of Attorney) adalah dokumen yang sah di sisi undang-undang. Ia membenarkan seseorang yang berumur 21 tahun ke atas (Pemberi kuasa atau Donor) ketika masih mempunyai keupayaan mental untuk melantik secara sukarela seorang atau lebih (Penerima kuasa atau Donee) untuk membuat keputusan dan mengambil tindakan bagi pihaknya apabila pemberi kuasa (Donor) hilang keupayaan mental untuk membuat keputusan. Penerima kuasa (Donee) berhak untuk membuat keputusan yang berkaitan dengan kebajikan diri pemberi kuasa (Donor), ataupun yang berkaitan dengan harta benda dan urusan sehariannya, ataupun yang berkait dengan kedua-duanya sekali.2

4.       Penerima kuasa (Donee) hanya boleh bertindak bergantung kepada kuasa yang diberikan oleh pemberi kuasa (Donee) di dalam dokumen LPA yang dimetrainya. Sungguhpun begitu, terdapat beberapa keputusan yang tidak boleh dilakukan oleh penerima kuasa (Donee) bagi pihak pemberi kuasa (Donor), seperti: memberi izin untuk berkahwin, bercerai, pengambilan anak angkat, menukar atau menganuti sesuatu agama, menerima rawatan untuk menukar jantina, memberi atau membatalkan izin untuk rawatan pemandulan seksual atau pengguguran, mendaftar atau menarik balik bantahan untuk pemindahan organ, membuat ataupun membatalkan Advance Medical Directive (AMD) dan sebagainya.3

5.       Pada situasi di mana seseorang itu hilang keupayaan mental sedangkan beliau belum membuat dokumen LPA untuk melantik penerima kuasa (Donee), seorang timbalan (Deputy) akan dilantik oleh mahkamah untuk membuat keputusan-keputusan tersebut. Seorang individu ataupun syarikat amanah berlesen di bawah Akta Syarikat Amanah atau Trust Companies Act (Cap. 336) seperti yang ditetapkan dalam Akta Keupayaan Mental (Mental Capacity Act) boleh dilantik sebagai timbalan (Deputy).4

6.       Untuk menjamin agar kebajikan pihak pemberi kuasa (Donor) tidak terabai atau disalahguna oleh penerima kuasa (Donee) atau timbalan (Deputy), kuasa undang-undang telah diperketatkan. Mahkamah mempunyai kuasa untuk mendakwa penerima kuasa (Donee) atau timbalan (Deputy) sekiranya berlaku sebarang salah laku. Mahkamah juga akan membatalkan kuasa yang diberi sekiranya perlu.

 

PERTIMBANGAN JAWATANKUASA FATWA

7.       Jawatankuasa Fatwa mempertimbangkan persoalan ini dan melihatnya daripada dua perspektif, iaitu:

a)       Keputusan fatwa terdahulu berkaitan Advance Medical Directive (AMD) dan prinsip hukum Islam berkaitan Advance Care Planning (ACP);

b)       Konsep pengurusan diri dan harta dalam Islam.

Keputusan Fatwa Terdahulu Berkaitan Advance Medical Directive (AMD) dan Prinsip Hukum Islam Berkaitan Advance Care Planning (ACP)

8.       Pada tahun 1994, Jawatankuasa Fatwa telah memutuskan bahawa seorang Muslim itu dibenarkan untuk melakarkan dokumen Advance Medical Directive (AMD). Dokumen tersebut memberi kepada individu pilihan untuk menjelaskan hasratnya kepada doktor bahawa sekiranya kesihatannya berada dalam keadaan tenat (terminally ill) beliau tidak ingin menerima sebarang rawatan tambahan ketika itu.  Fatwa ketika itu memutuskan bahawa dia boleh dianggap sebagai memilih untuk bersabar dan meneruskan kehidupan dalam keadaan tabi’i, serta berkeyakinan bahawa apabila sampai ajal seseorang itu maka dia pasti mati.

9.       Manakala Advance Care Planning (ACP) pula merupakan suatu instrumen yang memberi peluang kepada individu untuk membuat perancangan awal dalam menentukan bentuk penjagaan dan cara perubatan yang diinginkan ketika dirinya berada dalam keadaan yang kritikal serta tidak mampu untuk membuat sebarang keputusan. Dalam hal ini, Pejabat Mufti berpandangan bahawa Islam membenarkan seseorang itu membuat perancangan ACP dalam menentukan pilihan penjagaan dan rawatan yang diinginkan.

Konsep Pengurusan Diri dan Harta dalam Islam

10.     Jawatankuasa Fatwa mendapati bahawa terdapat beberapa elemen dalam fiqh Islam yang serupa dengan konsep Lasting Power of Attorney (LPA) seperti elemen Wiṣāyā.5

11.     Selain dari ini, terdapat beberapa lagi konsep lain yang berhubungkait dengan Wiṣāyā seperti konsep Wakālah dan Wilāyah.6 Ketiga-tiga konsep ini bersesuaian dengan firman Allah s.w.t.:

Yang bermaksud: “...Maka jika orang yang berhutang itu adalah orang yang lemah akalnya atau lemah (keadaannya) atau dia sendiri tidak mampu menentukannya, maka hendaklah walinya menentukan dengan adil...” (Surah al-Baqarah, ayat 282)

13.     Prinsip-prinsip syarak disebalik konsep-konsep ini sesuai dengan peruntukan undang-undang yang memberi kuasa perlantikan pemberi kuasa (Donee) untuk menguruskan hal ehwal diri dan harta seseorang semasa seseorang itu hilang keupayaan mentalnya.

 

KEPUTUSAN JAWATANKUASA FATWA

14.     Berdasarkan pertimbangan di atas, Jawatankuasa Fatwa memutuskan bahawa Surat Kuasa Berkekalan (Lasting Power of Attorney, LPA) merupakan suatu bentuk perancangan yang dibenarkan oleh syarak kerana selari dengan objektifnya (Maqāṣid al-Sharī’ah). Ia sejajar dengan prinsip agama yang menganjurkan agar seorang Muslim itu membuat perancangan dan persediaan bagi menghadapi cabaran masadepan.

15.     Jawatankuasa Fatwa turut berpandangan bahawa segala ketetapan perundangan yang telah ditentukan bagi melindungi kebajikan pemberi kuasa (Donor), adalah sesuai dan selari dengan prinsip Sadd Zarā’i7 untuk mencegah daripada berlakunya sebarang salah laku oleh penerima kuasa (Donee) atau timbalan (Deputy).

16.     Jawatankuasa Fatwa ingin menegaskan bahawa seorang Muslim itu hendaklah memastikan perancangan yang dibuat dapat menjamin kebajikan dan kemaslahatan buat dirinya sepanjang hidupnya. Selain itu, pemberi kuasa (Donor) juga perlu membuat pertimbangan yang sewajarnya dalam melantik individu yang diyakini boleh melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan dengan sebaiknya berpandukan kepada aturan perundangan dan agama.

 

والله أعلم ، وبالله التوفيق، وصلى الله على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم.

 

 

 

DR MOHAMED FATRIS BIN BAKARAM

PENGERUSI, JAWATANKUASA FATWA

MUFTI NEGARA SINGAPURA

MAJLIS UGAMA ISLAM SINGAPURA

 



[1] Pusat Pro Bono dan pendidikan klinikal undang-undang.

[3] Office of the Public Guardian, A Guide to: The Lasting Power of Attorney, hlmn. 15.

[4] https://www.publicguardian.gov.sg/opg/Pages/What-Is-A-Court-Appointed-Deputy.aspx - What is a Court appointed Deputy; Lihat juga, Section 20, Mental Capacity Act (Cap. 177A).

[5] Wiṣāyā atau Īṣā’ bermaksud satu pengamanahan yang diberikan kepada seseorang untuk mentadbir serta menguruskan sesuatu perkara/urusan selepas kematian muṣī (orang yang mengamanahkan) seperti mentadbir urusan anak-anak, melaksanakan wasiat, menyelesaikan hutang, memulangkan barang yang dalam jagaannya dan seumpamanya. Sila lihat, Al-Zarqā, Muṣṭafā Aḥmad, Al-Madkhal al-Fiqh al-’Ᾱm, juz 1, hlmn. 54-55 & 628-629; Lihat juga, Al-Zuḥaylī, Wahbah, al-Fiqh al-Islāmī wa Adillatuh, juz 8, hlmn. 131; Muṣṭafā al-Khin dan Muṣṭafā al-Bughā, Al-Fiqh al-Manḥajī, juz 5, hlmn. 59.

[6] Wakālah merupakan suatu bentuk akad muamalat untuk menyerahkan sesuatu urusan kepada orang lain dilaksanakan ketika hayat pemberi wakil itu.   Manakala Wilāyah pula merupakan suatu mandat atau kuasa yang ditetapkan melalui hukum syarak untuk mengurus diri/harta seseorang yang tidak dapat mengurus hartanya atas sebab-sebab tertentu seperti muflis, anak-anak kecil, mereka yang kurang cerdik (Al-Safīh), lemah akal (Al-Ma’tūh) dan sebagainya. Kuasa Wilāyah untuk menguruskan harta/urusan individu lain boleh terjadi secara semula jadi disebabkan hubungan pertalian darah antara dua pihak. Seperti seorang bapa menguruskan anaknya atau melalui perwakilan yang diberikan untuk mengurus bagi pihak orang lain yang diperolehi sama ada secara wasiat atau diberi oleh pihak tertentu seperti mahkamah.  Sila lihat: Al-Syarbīnī, Mughnī Al-Muḥtāj, juz 2, hlmn. 281. Lihat juga, Al-Buhūtī, Kisyāf al-Qanā’, juz 3, hlmn. 416-452, Lihat juga, Ibn Qudāmah, Al-Mughnī, juz 4, hlmn. 510-512; Al-Damīrī, Al-Durar fī Syarḥ al-Mukhtaṣar, juz 1, hlmn. 1634-1636; Ibn ‘bidīn, Rad al-Muḥtār, juz 9, hlmn. 200-219; ‘Abd al-Karīm Zaydān, Al-Madkhal li Dirāsah al-Syarī’ah al-Islāmiyyah, hlmn. 279. Lihat juga, Muḥammad Salām Madkūr, al-Madkhal li al-Fiqh al-Islāmī: Tārīkhuh wa Maṣādiruh wa Naẓariyātuh al-‘Ᾱmmah, hlmn. 472-473; Lihat juga, ‘Alī Al-Khafīf, Aḥkām al-Mu’amalāt al-Syar’iyyah, hlmn. 281-284.

[7] Konsep Sadd Zarā’i: Mengelak daripada melakukan sebarang cara yang mempunyai unsur-unsur yang boleh membawa kepada kerosakan.