A Singapore Government Agency Website

Office of the Mufti

Fatwa on Zakat Assistance for Those Affected by COVID 19 (Malay)

AKTA PENTADBIRAN HUKUM ISLAM

(BAB 3, BAHAGIAN 32)

 

FATWA YANG DIKELUARKAN

OLEH

JAWATANKUASA FATWA, MAJLIS UGAMA ISLAM SINGAPURA

Jawatankuasa Fatwa telah mengadakan mesyuarat fatwa ke-5 pada 6 Mei 2020 bagi membincangkan soalan yang diterima daripada Pejabat Mufti mengenai bantuan zakat bagi golongan yang terjejas dengan COVID-19.

FATWA

بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله رب العالمين ، والصلاة والسلام على سيد المرسلين وإمام المتقين نبينا محمد وعلى آله وأصحابه أجمعين. اللهم أرنا الحق حقا وارزقنا اتباعه، وأرنا الباطل باطلا وارزقنا اجتنابه، وبعد.

LATARBELAKANG

1 Penularan wabak COVID-19 yang masih berterusan telah meninggalkan kesan mendalam kepada ekonomi negara dan dunia. Menurut jangkaan pakar, seramai 150 ribu sehingga 200 ribu pekerja bakal hilang pekerjaan di Singapura sepanjang 2020.[1] Ekonomi Singapura juga dijangkakan akan mengalami kemelesetan (pertumbuhan GDP negara boleh mencecah bawah -4 sehingga -1 peratus).[2]

2 Pejabat Mufti menjangkakan bahawa masyarakat Islam merupakan antara golongan yang bakal terkesan dengan perkembangan ini. Akan terdapat keluarga yang akan terjejas pendapatan bulanan mereka, sama ada secara individu ataupun pendapatan purata keluarga (household income). Bagi sesetengah individu, beberapa skim bantuan jangka-masa pendek yang disediakan pemerintah mungkin tidak mencukupi. Ada yang mungkin tidak lagi mampu menampung kos kehidupan yang berkaitan dengan persekolahan anak-anak serta keperluan asas lain.

3 Berlatarbelakangkan maklumat tersebut, Pejabat Mufti mengajukan kepada Jawatankuasa Fatwa persoalan berikut:

a)    Bolehkah individu yang terkesan dengan COVID-19 menerima bantuan zakat? Adakah mereka termasuk di dalam kategori asnaf penerima zakat? 

DASAR AGAMA PENAFSIRAN ASNAF ZAKAT

4 Penetapan lapan asnaf merupakan antara perkara yang telah dijelaskan di dalam al-Quran. Firman Allah s.w.t. dalam Surah al-Tawbah, ayat 60:

Yang bermaksud: “Sesungguhnya segala sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan miskin, dan para amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang muallaf yang ingin dilembutkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan pada jalan Allah, dan mereka yang musafir, suatu ketetapan dari Allah, dan Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

5       Walaupun al-Quran telah menetapkan kelapan-lapan asnaf, para fuqaha’ telah memperluaskan perbincangan berkaitan golongan asnaf tersebut, sesuai dengan pemahaman mereka terhadap nas dan realiti semasa. Penafsiran tersebut kembali kepada objektif utama syarak, iaitu untuk menjaga kemaslahatan masyarakat awam. Dan keperluan masyarakat akan berubah dengan peredaran zaman, perubahan keadaan dan keperluan manusia pada masa-masa tertentu.

6       Di antara contoh penafsiran asnaf adalah seperti berikut:

(i)            Asnaf Ibn Sabil: Jawatankuasa Fatwa Singapura telah memperluaskan definisi bagi asnaf ibn sabīl pada tahun 2019 bagi merangkumi 1) warga negara Singapura yang terkandas di negara asing dan terputus bekalan kewangan untuk pulang ke Singapura; 2) para pelajar yang menghadapi kesulitan untuk pulang ke Singapura, atau para pelajar yang terperangkap dalam situasi kecemasan (State of Emergency); 3) para pekerja asing yang terkandas di Singapura dan hilang seluruh sumber kewangan; 4) jenazah Islam warga Singapura yang perlu dibawa pulang ke Singapura dan tidak dapat diuruskan dengan sempurna di negara yang dilawatinya, atau jenazah warga asing yang perlu dihantar pulang dan ahli warisnya tidak mempunyai kewangan untuk membawa pulang jenazah tersebut.

(ii)          Asnaf Riqab: Jawatankuasa Zakat Fitrah MUIS juga pernah meluaskan saham riqāb yang pada asalnya bermaksud pembebasan dari perhambaan, kepada bantuan kewangan berbentuk biasiswa bagi pelajaran. Ini adalah kerana ilmu dapat membebaskan seseorang daripada belenggu kejahilan.

(iii)        Asnaf Miskin: Pemahaman ulama akan asnaf “miskin” merangkumi individu yang walaupun ada pekerjaan ataupun hasil usaha, ia hanya memenuhi sebahagian keperluan asasinya (ḍarūriyyāt) tetapi tidak mencukupi untuk dirinya serta untuk mereka yang berada di bawah tanggungannya. Mereka tidak memiliki perbelanjaan yang mencukupi untuk menampung keperluan seharian.

(iv)        Asnaf Fisabilillah: Menurut Ibn al-Athīr, fīsabīlillah merupakan satu konsep umum yang terangkum padanya segala amalan untuk mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. Manakala al-Imām al-Rāzī dalam tafsirnya menyatakan bahawa perkataan fīsabīlillah dalam ayat 60 surah al-Tawbah tidak dikhususkan kepada orang yang berperang semata-mata. Beliau memetik bahawa al-Qaffāl dalam tafsirnya menyebut pandangan beberapa fuqaha’ bahawa asnaf fīsabīlillah ini boleh dibelanjakan untuk apa sahaja tujuan kebaikan, termasuk menyempurnakan jenazah, membina benteng atau kubu pertahanan dan membina masjid.[3]

7       Jelas daripada perbincangan para fuqaha’ bahawa pemahaman daripada penafsiran nas mengenai lapan asnaf boleh diperluaskan dan disesuaikan dengan realiti semasa.[4]

KEPUTUSAN FATWA

8 Berdasarkan keperluan semasa, Jawatankuasa Fatwa memutuskan bahawa bantuan zakat boleh diagihkan kepada golongan-golongan yang pendapatan mereka terjejas kerana kemelesetan ekonomi ataupun kehilangan pekerjaan disebabkan COVID-19. Fatwa menetapkan bahawa mereka yang terjejas dengan COVID-19 lalu menghadapi kesukaran untuk memenuhi keperluan asasinya (serta keluarganya) layak menerima bantuan zakat. Pemahaman serta aplikasi maksud asnaf yang lebih luas ini dapat menjamin pemeliharaan maqāṣid pensyariatan ibadah zakat di dalam membantu golongan yang memerlukan.

9 Mereka bukanlah membentuk satu asnaf yang baru, tetapi mereka boleh digolongkan di bawah beberapa asnaf yang diperluaskan tafsirannya seperti berikut:

Asnaf

Sebab

Miskin

Individu yang dibuang kerja lalu mata pencariannya terjejas sehingga tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan peribadinya (serta keluarganya).

Individu yang mempunyai pendapatan bulanan, tetapi pendapatan bulanannya tidak mencukupi untuk memenuhi keperluannya (dan keluarganya).

Gharimin

Individu yang terjejas pendapatannya dan berhadapan dengan kesukaran untuk membayar hutang-hutangnya yang bersangkutan dengan keperluan asas keluarganya.

Riqab

Individu yang tidak dapat menyara pendidikan anak-anaknya kerana status kewangannya terjejas akibat kehilangan pekerjaan.

Fisabilillah

Bantuan yang relevan bagi merangkumi segala situasi lain yang tidak dinyatakan di atas, seperti membayar kos perubatan yang terlalu mahal sekiranya seseorang dijangkiti COVID-19 dan terpaksa berada di hospital buat satu jangkamasa yang sangat lama.

10 Segala bantuan zakat tersebut adalah bantuan tambahan ke atas bantuan yang disediakan oleh pemerintah bagi mereka yang terjejas dengan COVID-19. Golongan terjejas ini hendaklah memanfaatkan dahulu skim-skim bantuan pemerintah. Sekiranya bantuan pemerintah tidak mencukupi, mereka perlu diberi bantuan melalui zakat. Namun demikian, skim bantuan ini hendaklah tidak menjejas bahagian asnaf zakat lain.

والله أعلم

والله ولي التوفيق، وصلى الله على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم.

 

 

DR NAZIRUDIN MOHD NASIR
PENGERUSI, JAWATANKUASA FATWA
MUFTI NEGARA SINGAPURA

 



[1] Todayonline, “COVID-19 Pandemic Could Lead to 150,000 to 200,000 Retrenchments, Say Maybank Economists”, https://www.todayonline.com/singapore/covid-19-pandemic-could-lead-150000-200000-retrenchments-say-economists, diterbitkan pada 8 April 2020.

[2] Ministry of Trade and Industry Singapore, “Singapore’s GDP Contracted by 2.2 Per Cent in First Quarter of 2020, MTI Downgrades 2020 GDP Growth Forecast to “-0.4 to – 1.0 Per Cen”, https://www.mti.gov.sg/-/media/MTI/Newsroom/Press-Releases/2020/03/AdvEst_1Q20.pdf, diterbitkan pada 26 Mac 2020.

[3] Al-Rāzī, Tafsīr al-Fakhr al-Rāzī, juz 16, hlmn. 115.

[4] Hasnah Abd Khafidz, “Asnaf Lapan: Kesan Nilai Semasa dan Setempat dalam Menentukan pentafsirannya di Malaysia”, hlmn. 5.