Speech by Chief Executive of Muis, Hj Abdul Razak Maricar at the Empowerment Partnership Scheme (EPS) Graduation Ceremony

AUDITORIUM, MUIS JUMAAT, 27 MEI 2016

Sohibus Samahah Dr Mohamed Fatris Bakaram, Mufti Negara
Singapura
Ibu bapa dan anak-anak yang saya kasihi
Tuan-tuan dan Puan-puan yang saya hormati

 

    Assalamu’alaikum Wr Wb,

  1. Alhamdulillah, saya gembira dapat bersama meraikan 52 graduan dari kumpulan kedua, kohort kelima, Skim Pengupayaan Sepadu Muis atau dipanggil ‘Empowerment Partnership Scheme (EPS)’. Kumpulan pertama telah menamatkan program mereka tahun lalu. Saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada kesemua peserta dan anggota keluarga mereka.

  2. EPS merupakan salah satu tunggak teguh usaha Muis memperkasakan keluarga yang memerlukan untuk keluar dari lingkaran kesusahan. Selain dari program EPS, Muis juga mengagihkan bantuan kewangan bulanan untuk para penerima zakat; yang mana ramai daripada mereka yang memerlukan bantuan jangka panjang seperti warga emas dan mereka yang mempunyai penyakit kronik. Bagi golongan ini, Muis juga membantu dengan mengadakan sokongan daripada para Pendamping atau ‘Befrienders’ yang bukan sahaja dapat menziarahi mereka tetapi turut memberi mereka sokongan moral.

  3. Muis juga membantu mereka yang memerlukan bantuan jangka pendek, termasuk bantuan gharimin seperti melunaskan bil api-air yang tertunggak dan reqab atau keperluan pembelajaran. PROMAS dan IEF juga tersedia bagi membantu pelajar madrasah sepenuh masa dan mereka yang mengikuti kelas-kelas mingguan aLIVE. Muis juga mengagihkan bonus Ramadan dan bonus akhir tahun agar penerima zakat dapat meraikan Hari Raya Eidulfitri. Bonus akhir tahun pula adalah untuk membantu membiayai persiapan persekolahan anak-anak. Alhamdulillah, berkat sokongan yang amat menggalakkan daripada masyarakat dalam bentuk sumbangan zakat yang meningkat setiap tahun, Muis dapat menjalankan amanahnya dan memperkukuhkan
    khidmat yang diberikan, agar lebih ramai dapat dibantu, dan lebih banyak bantuan dapat dihulurkan. Segala bantuan ini adalah tambahan kepada bantuan peringkat nasional di mana Muis giat untuk merujuk keluargakeluarga yang layak menerima bantuan nasional kepada badan-badan sosial pemerintah.

  4. Peningkatan EPS

  5. Saya diberitahu untuk kohort kelima ini, Muis telah memperuntukkan $1 juta setahun, bagi menyokong latihan peningkatan kemahiran bagi ibu-bapa, geran pendidikan anak-anak serta program sokongan termasuk pendidikan agama.

  6. Muis juga telah melakukan perubahan bagi mempertingkatkan lagi keberkesanan EPS. Ini termasuk:

    i) Tambahan Geran tahunan daripada $3,000 kepada $5,000;
    ii) Bimbingan Kewangan atau Financial Coaching untuk 40
    keluarga;
    iii) Bimbingan untuk Remaja atau Youth Mentoring; dan
    iv) Sistem pemantauan selama 5 tahun

    Untuk kumpulan kedua, kohort kelima ini, Muis juga telah memperkenalkan khidmat Pegawai Kes, yang juga merupakan Pegawai Pembangunan Sosial atau SDO di masjid-masjid, untuk turut
    mengendalikan EPS. Ini dilakukan dengan perlantikkan tiga Pegawai Kes melalui Masjid Istiqamah.

  7. Selain dari usaha peningkatan dan latihan semula kemahiran bagi ibu-bapa melalui program-program yang ditawarkan badan-badan nasional, atau masyarakat seperti Mendaki SENSE, para Pegawai Kes telah memberi tumpuan yang lebih kepada pembangunan anak-anak. Penekanan juga diberikan untuk pendidikan Islam bagi seluruh keluarga sebagai sumber kekuatan serta mengukuhkan lagi ikatan kekeluargaan. Izinkan saya untuk berkongsi antara kisah-kisah menarik keluargakeluarga EPS ini.

  8. Encik Andy Hirman Bin Mustaffa dan isterinya, Puan Rosidah Binte Sani bergilir-gilir menggunakan geran kemahiran dengan sepenuhnya. Encik Andy akhirnya berjaya mendapat sijil kelulusan memandu Kelas 4 dan lesen vokasional memandu teksi selepas beberapa percubaan. Isterinya pula mengembangkan minatnya dengan mengikuti kursuskursus mengandam, membuat kek dan gubahan bunga. Kini, beliau mengambil tempahan dan mengandam pada hujung minggu. Keenamenam anak mereka yang berumur antara 3 hingga 15 tahun juga memanfaatkan geran pendidikan yang tersedia. Mereka turut mengikuti kelas aLIVE di masjid Al-Ansar, kelas foniks atau membaca dan programprogram peningkatan-diri semasa cuti sekolah. Mereka sekeluarga amat berterimakasih kepada sokongan Muis dan kini memberikan dorongan kepada keluarga EPS yang lain.

  9. Puan Mardianah Binti Ali pula merupakan seorang ibu tunggal yang mempunyai 4 orang anak. Ibu yang cekal semangat ini senantiasa mengutamakan pelajaran dan kemahiran. Anak  sulungnya memanfaatkan geran untuk mendapatkan lesen memandu, belajar membuat kuih dan mengikuti kursus perniagaan di talian. Anak kembar lelakinya sedang mengikuti kursus Higher Nitec manakala yang bongsu baru memulakan pengajian di politeknik. Kesemua anak-anaknya mengikuti pendidikan agama di Masjid Sallim Mattar. Malah, salah seorang anaknya, Muhd Azri telah dinobatkan sebagai pelajar youth aLIVE terbaik untuk tahun 2015. Puan Mardianah sendiri sedang mengikuti program Sijil Talaqqi Quran di Masjid Kampung Siglap. Beliau
    mengamalkan kehidupan yang positif dan berhemah serta bijak menguruskan kewangan keluarga walau hanya dengan pendapatannya bekerja sebagai kru di McDonalds.

  10. Akhir sekali, keluarga Puan Ruhani Suleiman, seorang ibu tunggal kepada 3 orang anak termasuk Muhd Redha, 15 tahun, yang mengalami celebral palsy. Walaupun dengan keadaan keluarga yang sedemikian, saya difahamkan ini tidak mematahkan semangat keluarga Puan Ruhani untuk cuba mengikuti program EPS yang sesuai. Saya juga turut bangga dengan  pencapaian Radhia Lyana yang mendapat Anugerah Mendaki 2015 untuk peringkat “O” levels Madrasah. Radhia telah memanfaatkan geran pendidikan untuk mengikuti program tuisyen intensif. Beliau kini sedang melanjutkan pelajaran di politeknik, seperti kakak sulungnya. Puan Ruhani pula telah mengikuti Program Micro Business AMP serta kursus menjahit dan memasak bagi menambahkan sumber kewangan keluarga.

  11. Saya percaya anda semua telah memanfaatkan geran yang tersedia dan meraikan tahap kejayaan yang berbeza-beza. Semoga kisah keluarga-keluarga tersebut akan menjadi contoh teladan buat anda semua. Saya juga menyeru agar semua keluarga yang hadir pada hari ini bertekad untuk terus berusaha dan terus maju kehadapan bagi menggapai kejayaan yang seterusnya. Saya juga berharap anda semua akan terus aktif dalam kegiatan masjid dan menyumbang masa dan tenaga kepada program-program di masjid-masjid. Anda sekeluarga
    bukan sahaja mampu berjaya bahkan mampu menjadi inspirasi kepada masyarakat umum. Syabas sekali lagi!

  12. Sebelum saya akhiri izinkan saya berpesan agar kita semua memanfaatkan bulan suci Ramadan yang akan tiba untuk mengeratkan lagi tali kekeluargaan dan terus menimba ilmu agama di masjid-masjid yang telah menyiapkan pelbagai program kerohanian pada bulan suci yang akan datang. Sekian, Wabillahi taufiq walhidayah, wassalamualaikum warahmatullah. 

PDF icon Speech by CE Muis at the EPS Graduation Ceremony (PDF, 135KB)