Memahami Peranan Dan Tanggungjawab

  • Kepimpinan dan penghormatan sebagai ketua dalam rumahtangga adalah sesuatu yang perlu diraih bukan dikurniakan, apatah lagi diperolehi secara paksa. Ketua seharusnya menjadi contoh tauladan dalam keluarga bukan hanya menyuruh dan memerintah ahli keluarga. Perhatikan peribadi Nabi s.a.w. bagaimana baginda dengan ahli keluarganya. Diriwayatkan pada beberapa hadith bagaimana Nabi s.a.w. sendiri membantu kerja rumah, Nabi menjahit seliparnya yang putus, beliau membantu mengemas rumah. Begitulah maksud kepimpinan dan perlindungan seperti yang difahami Nabi s.a.w.
  • Kepimpinan yang diberikan Islam kepada kaum lelaki, ia tidak sama sekali bererti kuasa yang diberi ke atas kaum lelaki untuk menindas kaum wanita, sama ada dengan merendahkan pandangan mereka, ataupun membataskan hak-hak bagi kaum wanita dan sebagainya. Sekiranya ada diantara kenalan kita yang masih lagi berpandangan sedemikian, maka ia merupakan satu pandangan yang tidak didasari oleh ajaran dan semangat sunnah Rasulullah s.a.w.