Khutbah Aidiladha 1442H - Kesucian Melahirkan Kemuliaan

  • Setiap langkah yang kita ambil di dalam kehidupan ini bagi menuju ke arah pembaikan dan kegemilangan bak mendaki gunung hingga ke puncaknya, kita perlu sama-sama berganding bahu dan saling lengkap- melengkapi. Kekuatan dan kemuliaan kita terhasil daripada semangat bantu- membantu di dalam kebaikan, dalam istilah Al-Quran (at-ta’awun ‘ala al-birr wa at-taqwa). Setiap kita melengkapi kekurangan atau kelemahan yang ada pada saudaranya.

     

     

  • Keterbukaan untuk menerima nasihat akan membantu kita menjadi manusia dan masyarakat yang lebih baik, di mana kita akur dengan kekurangan dan kita ingin memperbaiki diri dan sumbangan. Ini adalah satu budaya sihat yang perlu terus disemai dan digalakkan. Kepimpinan tidak dapat berfungsi dengan baik jika ia angkuh dan sombong, serta tidak mahu menerima teguran atau nasihat. Hanya dengan sikap ingat- mengingatkan inilah kita dapat terus membina dan membangunkan institusi-institusi agama kita serta mengukuhkannya lagi.

     

     

  • Dalam suasana kekhuatiran sekarang ini, janganlah kita biarkan khabar-khabar palsu memburukkan lagi suasana dan menakutkan golongan tua. Seperti dakwaan vaksin memudaratkan. Setiap kita dambakan keadaan kembali pulih secepat mungkin. Kerana itu, kita perlu terus berusaha dan menerima pandangan pakar dan ahli. Yang belum mengambil vaksin bersegeralah mengambilnya. Yang sudah pula, maka galakkan saudara-mara kita, khususnya golongan berusia tua, untuk mengambilnya.