Mengekang Amalan dan Kepercayaan Khurafat

  • Minggu ini membawa lagi satu aspek keyakinan yang perlu kita perhatikan dalam kehidupan kita. Ia merupakan aspek bertawakal dan menjadikan Tuhan sebagai satu-satunya sandaran kehidupan kita. Sebenarnya, antara tujuan amalan berdoa yang sering diajarkan baginda Muhammad s.a.w., adalah untuk memupuk dalam diri kita keimanan dan keyakinan kepada Tuhan. Dengan keyakinan ini, terbinalah iman yang utuh. Tanpanya, iman bakal layu dan pudar.

  • Setiap manusia sangat menginginkan kejayaan dan kebahagiaan dalam kehidupan, sama ada untuk dirinya atau untuk ahli keluarganya. Berbagai lakaran perancangan disusun dan berbagai usaha ditetapkan, demi menggapai impian yang diidam-idamkan.

  • Kita menyaksikan, bukan sahaja di zaman ini, tetapi daripada dulu lagi, terdapat sebahagian individu yang terkesan dengan kepercayaan tahayul dan amalan yang karut-marut yang tidak mempunyai dasar sama sekali dalam ajaran Islam, yang menjanjikan jalan pintas bagi mencapai segala kehendak dan tujuan. Mereka menyangka bahawa amalan-amalan tersebut dapat menolong mereka untuk meraih apa yang diingini.