Panduan Al-Quran bagi Kehidupan Mukmin

  • Tujuan di sebalik berita-berita gembira dan amaran-amaran di dalam Al-Quran, tidak lain dan tidak bukan adalah untuk memupuk ketaqwaan kita kepada Allah s.w.t. Secara lumrahnya manusia akan terdorong untuk melaksanakan sesuatu jika dijanjikan dengan ganjaran yang besar dan baik. Manakala jika kita menghayati ancaman yang terkandung, pastinya ia membuat diri ini merasa gerun untuk melakukannya.

  • Ketahuilah saudaraku, untuk memahami isikandung ayat-ayat suci Al-Quran adalah satu tuntutan agama. Maka pastikan kita meraih pemahaman yang tepat serta benar akan maksud ayat-ayat tersebut. Sebahagian maklumat yang berkaitan dengan agama ini, agak mudah untuk kita fahami, seperti fadilat amalan-amalan yang tertentu. Akan tetapi terdapat pula sebahagian teks agama, yang tidak cukup hanya dibaca terjemahannya sahaja untuk meraih kefahaman yang tepat berkaitannya. Ia memerlukan kepada penjelasan lanjut, bahkan seseorang memerlukan kepada panduan, untuk memahami latarbelakang, konteks serta hikmah yang terkandung.