Meraih Ketenangan Bersama

  • Tidak kita nafikan bahawa kehidupan di dunia ini penuh dengan pelbagai ujian dan dugaan. Setiap hamba Allah akan diuji mengikut kemampuan mereka.Tatkala kita diuji tuhan, agama ini menuntut kita untuk bersabar dan meyakini bahawa disebalik setiap ujian itu pasti terkandung hikmahnya. Kadangkala ketika diuji tuhan, sebahagian individu mula mengeluh, bahkan mungkin ada juga yang menyalahkan takdir dan sebagainya. Ada juga yang menyangka, bahawa dirinya diuji kerana tidak berjaya mendapat kasih sayang dan keredaan Allah s.w.t.
  • Ujian Allah tidak bererti bahawa Allah s.w.t. membenci, bahkan kadangkala sebaliknya. Kadangkala seseorang itu diuji sedangkan dia merupakan insan yang dikasihi Allah s.w.t. Dia diuji sebagai kaffarah (penghapus) bagi dosa-dosanya yang silam. Setelah memahami maksud ujian Allah s.w.t. bagi seorang mukmin, persoalan yang seterusnya adalah bagaimana kita boleh memupuk kesabaran serta menjaga ketenangan diri ketika ujian datang melanda?