Khutbah Aidilfitri- 1439-2018 Pengertian Kerohanian Serta Potensinya

  • Seorang mukmin yang kukuh kerohaniannya tidak boleh merasakan kedamaian dalam hatinya sekiranya beliau tahu ada mereka di sekelilingnya yang berada dalam kesukaran, kesulitan dan kesengsaraan. Andai kerohanian kita ikhlas untuk Allah, kita tidak akan sanggup membiarkan saudara seinsan kita berada dalam kesempitan sedangkan kita sendiri dalam keselesaan. Kerohanian yang murni akan menggerakkan sesebuah masyarakat untuk bergerak maju bersama dan menggalakkan perkongsian sumber di kalangan anggota-anggotanya.

  • Kerohanian yang jitu juga akan mencernakan dalam jiwa seorang Mukmin keyakinan akan pertolongan dan pemeliharaan Allah. Dengan berbekalkan keyakinan inilah, seorang Mukmin dalam kehidupannya tidak akan mudah menyerah diri. Bahkan ia akan terus cekal, dan tawakkalnya kepada Allah akan menyuburkan jiwa sehingga ia selalu ingin berusaha tanpa rasa malas, takut dan bimbang.

  • Kerohanian yang menghasilkan keyakinan diri yang kukuh ini seharusnya kita terus bangunkan lagi. Masyarakat Islam ini, terutama golongan muda kita sebagai penerus generasi, perlu membina rasa percaya diri dalam kehidupan keagamaan kita. Bila kita berbicara tentang agama kita, kita berbicara dengan penuh yakin. Bila kita berusaha menyebarkan rahmah, kita sebarkan dengan penuh yakin. Bila kita bermasyarakat dengan sesiapa jua, kita berinteraksi dengan penuh yakin. Begitu pula bila kita membuat sumbangan kepada masyarakat, negara mahupun dunia, kita perlu yakin, tanpa wujud sedikitpun rasa hina diri atau takut dan ragu-ragu di dalam hati.