Hubungan Antara Keluarga

  • Setentunya untuk menjaga hubungan dan tali persaudaraan antara keluarga memerlukan kepada kesabaran dan juga kepada aspek hikmah. Pada masa yang sama ada cubaan dan juga ujian disebaliknya. seorang mukmin perlu untuk sentiasa menanam rasa empati dalam diri bagi menangani cabaran kehidupan berkeluarga. Kerana apabila tiada sifat empati dalam diri seseorang, maka dia hanya akan melihat kepada keperluan dan kepentingan peribadinya sahaja. Sikap empati akan mengakibatkan seseorang untuk meletakkan dirinya pada posisi insan lain yang beliau berhadapan dengannya.
  • Sebagai contoh, sekiranya berlaku pergeseran ahli mertua dan menantu,  setiap pihak perlu berusaha untuk memahami situasi, perasaan dan juga keperluan pihak yang lain. Pendekatan sedemikian mampu untuk membuka ruang mencari huraian bagi permasalahan daripada berpanjangan. Di waktu yang sama, terdapat beberapa panduan agama bagi menangani masalah dan pergeseran yang berlaku antara keluarga. Ada isu yang perlu diberikan fokus dan penumpuan, serta memerlukan kepada campur tangan sebagai usaha untuk menanganinya. Diwaktu yang sama, sebahagian isu merupakan isu yang kecil serta permasalahan yang remeh. Ia tidak memerlukan kepada penumpuan yang berlebihan.
  • Campur tangan yang saya maksudkan disini adalah campur tangan yang mendidik, dan bukannya yang memudharatkan sehingga boleh mengakibatkan penceraian. Oleh itu, seharusnya niat seseorang adalah untuk membawa perubahan dan untuk memulihkan keadaan, serta dijangkakan bahawa nasihatnya bakal membawa suatu perubahan yang positif, dan bukan sebaliknya.