Khutbah Aidiladha 1441H - Memupuk Kerohanian Pada Saat Krisis

  • Ramai yang khuatir sekiranya kita masih lagi tidak dapat berpeluang untuk mendirikan solat hari raya di masjid, sepertimana pada hari raya Aidilfitri yang lalu. Namun begitulah kita dianugerahkan Allah s.w.t. nikmat untuk berkumpul pada pagi ini. Maka perbanyakkanlah kesyukuran kita kepada Allah s.w.t. dan teruskanlah segala usaha baik di dalam menyokong langkah-langkah berjaga-berjaga yang perlu kita ambil. Demi memastikan masjid-masjid kita terus menjadi tempat yang selamat agar ia dapat terus dimakmurkan.

     

     

  • Hari Raya Aidiladha mengingatkan kita akan maksud, nilai serta ganjaran pengorbanan. Kisah pengorbanan para Anbiya serta keluarga mereka mengajar kita bahawa setiap pengorbanan yang dilakukan untuk Allah s.w.t. dan kebaikan tidak akan sia-sia. Bahkan pengorbanan itulah yang akan meninggikan darjat seorang hamba serta mendekatkan kita lagi kepada Allah s.w.t. Ia adalah jalannya para solihin serta sunnahnya para Anbiya.

     

     

  • Kita memaklumi bahawa suasana hari ini mungkin akan bertambah lebih mencabar kerana ramai yang akan terjejas dari segi ekonomi dan pekerjaan. Maka akan terdapat golongan yang lebih memerlukan kepada sokongan dan bantuan kita. Dengan ini, kita perlu terus mengamalkan sikap bantu-membantu antara kita. Peka akan situasi mereka yang berada di sekitar kita.