Hadis Qudsi: Kepentingan Bersikap Adil

  • Apabila Islam memerintahkan orang beriman untuk berlaku adil, ia menuntut keadilan dalam semua perkara. Ia merangkumi berlaku adil dalam perbuatan, dalam percakapan, pada perhubungan antara sesama insan, bahkan pada segenap aspek kehidupan. Kerana keadilan adalah ketakwaan. Insan yang adil merupakan insan yang lebih bertakwa.

     

     

  • Keadilan mengajak kita untuk beristiqamah dalam melakukan kebaikan, dalam berdakwah dengan kemuliaan akhlak dan pekerti, dalam meneruskan usaha untuk menunjukkan keindahan dan kemuliaan agama kita. Ini agar sesiapa sahaja yang masih terkeliru, ataupun tersalah faham tentang Islam, akan akhirnya nampak kebaikan dan kemuliaan agama kita melalui perbuatan, tutur kata serta sikap positif kita. Jika kita membalas kebencian dengan kebencian, maka suasana hanya akan menjadi lebih keruh dan jalinan hubungan dan persefahaman yang telah lama dipupuk dan dibina akan runtuh.

     

     

  • Perbuatan seorang individu tidak mewakili sesuatu kelompok. Kesilapannya tidak melambangkan nilai keseluruhan sesuatu masyarakat. Sebagaimana kita tidak mahu dilihat demikian, apabila ada individu Muslim yang terlibat dengan keganasan, kita juga tidak akan bersikap demikian kepada orang lain.