Kesungguhan Untuk Memohon Maaf Dan Memaafkan

  • Orang-orang Mukmin adalah bersaudara. Namun begitu, dalam kehidupan ini, kita tidak dapat mengelakkan diri kita daripada berinteraksi dan berurusan bersama orang lain, sama ada dengan saudara mara, kaum kerabat, jiran tetangga, sahabat handai dan sebagainya. Tidak kurang juga dalam kita mengadakan perhubungan dan pergaulan mungkin berlaku salah faham yang mana ia berpotensi untuk menimbulkan perasaan marah, dendam dan rasa tidak puas hati bersama pihak-pihak berkenaan.

  • Justeru itu, adalah penting bagi kita untuk sentiasa bersabar dan melatih diri untuk mengawal emosi dengan baik. Sebagaimana kita menginginkan keampunan Allah s.w.t, maka kita seharusnya bersedia untuk memberikan kemaafan atas kesalahan orang lain terhadap diri kita dan selalu berlapang dada.

  • Apabila kita membuat kesalahan atau kesilapan sebaiknya kita juga yang memulakan dengan meminta maaf. Dengan berbuat demikian, kita telah membuang jauh perasaan ego. Sekurangnya kita mengakui kesalahan kita dan menyampaikannya kepada pihak yang bersangkutan. Setidaknya ia bakal menimbulkan jiwa yang tenteram dan bebas daripada perasaan bersalah.