Iqra' Perintah Berharga Daripada Tuhan Kepada Insan

  • Untuk menjadi seorang pendidik, perlulah seseorang menghayati falsafah dasar “Iqra” iaitu wahyu Allah yang pertama yang diturunkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. perintah Iqra’ bukan hanya ditujukan kepada peribadi Nabi Muhammad s.a.w semata-mata, tetapi ia juga merupakan satu perintah yang berterusan kepada umat manusia sepanjang sejarah kemanusiaan. Ini kerana hakikat perintah yang suci ini merupakan anak kunci kebahagiaan hidup manusia di dunia dan di akhirat.
  • Ia bukan hanya membawa maksud “bacalah” sahaja. Kalimat tersebut mempunyai makna yang tersirat yang boleh memberi kesan positif kepada umat manusia. Perintah tersebut mendorong setiap pendidik dan pembimbing secara khusus agar terus membaca, terus menelaah, terus meneliti, terus mendalami dan terus mengetahui ciri-cirinya serta terus menyampaikannya.
  • Berdasarkan semangat iqra’ ini, kita menyaksikan kisah-kisah kesabaran para ulama’ sepanjang zaman untuk terus berusaha menuntut ilmu. Ilmu merupakan suatu yang suci dan bernilai saudaraku. Ilmu tidak dapat diperolehi dengan jalan pintas. Ilmu memerlukan kepada ketekunan, usaha yang berterusan, penelitian yang dalam. Justeru itu sebagai sebuah masyarakat Islam, kita harus bekerja keras untuk menjadi masyarakat membaca, masyarakat berfikir dan masyarakat yang berusaha memartabatkan dirinya dan membangun tamadun hari muka agar tersebar manfaatnya kepada generasi kemudian.