Kehidupan Beragama Berdasarkan Ilmu

  • Semua diantara kita akur bahawa agama itu merupakan perkara yang terpenting di dalam kehidupan kita. Agama itu penting bukan sahaja kerana ia merupakan sumber moral dan etika bagi insan, bahkan agama juga merupakan petunjuk kebenaran. Tambahan dari ini, agama juga memberikan bimbingan rohani dan keimanan bagi insan. Melalui agama, seorang mukmin mampu membina kerohaniannya. Kerohanian yang benar mampu memberi keseimbangan kepada diri mukmin, sama ada ketika berhadapan dengan cabaran dan realiti kehidupan seharian, ataupun memberinya keseimbangan dalam beragama.
  • Kerana itu, agar agama ini dapat memainkan peranannya dalam kehidupan kita serta memberi kesan yang diharapkan, setiap individu Muslim perlu memastikan bahawa maklumat dan ilmu agama yang terbina di dalam dirinya merupakan maklumat agama yang benar serta tepat, agar beliau berjaya membina agama dalam dirinya. Kerana pemahaman dan amalan agama seseorang, pasti akan mengikuti ilmu agama yang diperolehinya.
  • Maka untuk membangun daya tahan ahli keluarga kita, lebih-lebih lagi golongan muda antara mereka, agar dapat mereka membezakan dan menolak sebarang bentuk idea sesat atau radikal, serta dapat mereka mempertimbangkan yang hak dari yang batil, mereka perlu memiliki dasar agama yang kukuh. Kita perlu memastikan bahawa bukan sahaja anak-anak kita itu mengamalkan agama, serta mengetahuinya, akan tetapi kita juga bertanggungjawab untuk memastikan bahawa pendidikan agama yang diterima oleh diri dan keluarga kita adalah ajaran yang sahih lagi betul.