Keseimbangan Pada Ciptaan Tuhan

  • Di dalam Surah Ar-Rahman, yang dimulakan dengan penyebutan nikmat-nikmat kurniaan Allah s.w.t. Daripada nikmat kurniaan Al-Quran kepada insan, kepada nikmat ilmu dan akal, sehinggalah kepada nikmat rezeki kurniaan illahi, semuanya itu mengingatkan akan kebergantungan kita kepada pemeliharaan dan kasih sayang Allah s.w.t. Lebih menarik lagi apabila ayat-ayat tentang nikmat ini disusuli dengan peringatan akan konsep timbangan yang adil atau “Al-Mizan” yang diulang beberapa kali. Maka apakah yang dimaksudkan dengan timbangan (Al-Mizan) pada ayat tersebut?
  • Menurut ulama tafsir, istilah “Al-Mizan” pada ayat tersebut, membawa maksud keadilan dan keseimbangan pada ciptaan Allah s.w.t. Segala yang diciptakan Yang Esa di alam ini, diciptakanNya dengan memerhatikan keadilan dan keseimbangan pada kejadiannya, seperti keseimbangan pada alam raya bersama eko-sistemnya, serta keseimbangan pada ciptaan langit dan bumi. Aspek keseimbangan atau “mizaniah” pada ciptaan Allah s.w.t. ini amat perlu kita hayati. Sebarang tidak keseimbangan mahupun keterlanjuran atau pelampauan dalam penggunaan nikmat Allah ini akan menjejas keseimbangan dan keharmonian alam. Ia akan akhirnya membawa kesan yang tidak diingini kepada umat manusia di dunia lagi sebelum akhirat.
  • Oleh itu cara untuk bersyukur ke hadrat Illahi di atas nikmat yang ada, adalah dengan menghargainya dan berusaha untuk mempergunakan sumber alam yang ada dengan penuh tanggungjawab,keadilan dan keseimbangan. Sebagai contoh, cara kita menggunakan air seharian. Walaupun ia merupakan satu langkah yang kecil, namun ia mampu untuk memberi kesan. Ketahuilah setiap usaha yang kita jalankan dalam penjimatan air merupakan suatu amalan yang terpuji di sisi Allah, dan ia menyumbang kearah kesejahteraan masyarakat.