Keseimbangan Dalam Beragama

  • Salah satu karakteristik ajaran Islam yang menonjol adalah Syariat ini memerhatikan aspek taysir, yang bererti kemudahan, pada segenap ajarannya. Islam tidak datang untuk mempersulit dan menyempitkan kehidupan manusia, ia datang sebagai rahmat dan kebaikan bagi insan di dunia dan akhirat. Allah s.w.t. dalam sejumlah firman-Nya telah menjelaskan bahawa Islam merupakan agama yang mudah.
  • Namun apakah yang dimaksudkan dengan kemudahan yang dititikberatkan Syariat? Bukan yang dimaksudkan sebagai “kemudahan ajaran Islam” itu memperlekeh ataupun memandang ringan terhadap hukum-hakam illahi. Sekiranya ada yang bertanggapan sedemikian, maka ia merupakan satu kefahaman yang salah dan perlu diperbetulkan. Kerana amal ibadah yang diwajibkan tuhan, bakal dipersoalkan di hadapan tuhan esok di akhirat.
  • Maksud sebenar kemudahan yang dibawa Islam adalah bahawa segala jenis taklif (bebanan) yang Allah wajibkan ke atas hamba-hamba-Nya, tidak bertujuan untuk mempersulitkan kehidupannya, akan tetapi ia masih lagi berada di bawah kemampuannya. Sebagai contoh, yang diwajibkan Islam adalah solat hanyalah pada lima waktu dan bukan yang lebih daripada itu. Maka, begitulah Syariat, pada setiap hukum-hakamnya, Syariah memastikan bahawa ia tetap berada di bawah kemampuan insan. Setentunya ada cabaran, dan pastinya terdapat unsur bebanan disebaliknya, kerana itulah yang dimaksudkan sebagai taklif. Akan tetapi ia tetap berada di bawah kemampuan insan untuk melaksanakannya dengan istiqamah.