Ujian Tanda Cinta Tuhan

  • Setiap di antara kita pasti diuji. Tidak kira yang tua mahupun yang muda, yang kuat mahupun yang lemah. Sama ada yang beriman ataupun tidak. Inilah takdir yang Allah (s.w.t.) telah tentukan buat setiap hamba-Nya. Untuk dinilai siapa yang terus kekal beriman serta berharap rahmat Tuhan, ataupun berpaling jauh daripada-Nya dan berputus asa akan rahmat-Nya. 

     

  • Ternyata kadangkala kebaikan dan kurniaan Tuhan juga boleh merupakan satu ujian buat kita sebagai seorang hamba. Sebagai contoh, seorang yang dikurniakan Tuhan rezeki yang berlimpah ruah. Namun, dia tidak menggunakannya pada jalan kebaikan seperti membantu mereka yang memerlukan, bersedekah dan lain-lain lagi. Bahkan, dia bersikap sombong dan tamak, hanya memikirkan diri sendiri sahaja.

     

  • Maka di sini letaknya kepentingan bagi seorang Mukmin agar sentiasa mengingati Tuhan dalam apa jua keadaan. Seorang yang beriman bukan hanya mencari serta mengharapkan rahmat Tuhan apabila dia berada dalam keadaan susah sahaja. Bahkan dia terus beriman serta beribadah kepada Tuhan pada setiap masa dan keadaan.