Kejayaan di Penghujung Ramadan

  • Saat-saat kita merendahkan wajah di dalam ruku’ dan sujud kita sepanjang Ramadan, tentu ada cebisan sedar melentur keangkuhan diri dan kesombongan.

     

     

  • Ramadan bukan sebuah mesin ajaib untuk memproses manusia berubah menjadi malaikat. Makhluk kerdil ini yang awal kemarin memasuki Ramadan sebagai manusia, akan akhirnya keluar di penghujung Ramadan juga sebagai manusia. Ujian dan dugaan hidup tidak akan pernah terhenti. Begitu juga nafsu dan syaitan kekal membisikkan hasutan di dalam hati.

     

     

  • Yang hendak dicapai ialah penjernihan hati agar mampu merasakan nikmat diringankan Tuhan dari belenggu dosa yang selalu membebankan jiwa. Dengan itu, diharapkan kita berjaya menjadi insan yang akan seterusnya mencintai kebaikan dan membenci kemungkaran. Kejayaan taubat yang sebenarnya bukan hanya dengan dosa-dosa terampun, tetapi taubat yang hebat ialah apabila kita turut menjadi insan yang mahu segera sedar jika sesekali terlanjur.