A Singapore Government Agency Website

Office of the Mufti

Khutbah Aidilfitri 1442H - Agama Menjana Harapan Dan Kesejahteraan

  • Alhamdulillah, masyarakat kita telah menyahut baik seruan untuk menghidupkan ajaran agama yang tidak terpisah daripada realiti kehidupan. Kita bangkit membuat penyesuaian bukan kerana kelemahan iman atau ilmu. Sebaliknya, kerana kita yakin bahawa agama mendorong kita untuk mencari huraian. Agama menjadikan kita insan mulia yang berdaya tahan dalam mengharungi keadaan susah mahupun senang. Bahkan, sifat dan nilai keagamaan kita akan lebih terserlah tatkala menghadapi krisis dan ujian.

     

     

  • Sudah lebih setahun kita berhadapan dengan situasi luarbiasa ini yang menimbulkan cabaran dalam segala aspek kehidupan. Jika umat manusia beku di dalam ketakutan apabila berhadapan dengan krisis, tidak mampu memikirkan jalan keluar atau menolak usaha untuk mengatasinya, pastinya krisis ini akan lebih berpanjangan. Ia akan mengakibatkan lebih banyak kesakitan dan kemudaratan. Begitu juga dalam kehidupan beragama. Tanpa sebarang perubahan dan pembaharuan untuk membantu masyarakat mengatasi situasi sukar seperti ini, setentunya kita akan berhadapan dengan kelayuan dan kelesuan.

     

     

  • Di samping kita bergembira meraikan kemenangan setelah sebulan berpuasa, marilah kita juga mempamerkan semangat perjuangan untuk terus menewaskan penularan virus ini. Ayuh kita terus berhati-hati dan mengambil serius semua langkah keselamatan, khususnya jika kita berziarah nanti. Dan lebih-lebih lagi tatkala kita menziarahi orang tua kita. Saya akui, pastinya setiap di antara kita merindui dan ingin bertemu dengan mereka. Namun, kita perlu berwaspada agar tidak membahayakan mereka. Jadikanlah hari raya tahun ini raya yang sangat selamat. Marilah kita berazam agar tidak berlaku sebarang jangkitan di musim raya ini dan selanjutnya. Inilah sumbangan kita.