Khutbah Aidiladha Ciri Pengorbanan Golongan Beriman

  • Setiap kali tibanya Hari Raya Aidiladha, kita pasti diingatkan akan makna pengorbanan. Setiap daripada kita, saya yakin, di luar Hari Raya Korban telah melaksanakan suatu pengorbanan sama ada melalui harta, masa, tenaga dan hatta emosi sekalipun pada pelbagai aspek. Tidak kira untuk diri, keluarga masyarakat mahupun agama dan negara. 

  • Bahkan, adakalanya tanpa disedari kita berkorban tanpa bertanya dan berfikir panjang. Contohnya telah menjadi budaya hari ini apabila kita membaca berita dan rayuan memohon bantuan untuk seseorang berada dalam keadaan kesusahan melalui media sosial, kita sering mendapati masyarakat bergegas menghulurkan bantuan kewangan, masa, tenaga bahkan adakalanya keselesaan tempat tinggal. 

  • Pengorbanan merupakan ciri kenabian yang kita saksikan pada perjalanan dakwah dan kehidupan mereka. Seperti yang pernah dinyatakan Nabi s.a.w. bahawa para Anbiya’ merupakan mereka yang paling dahsyat dalam menerima ujian daripada Allah. Namun mereka korbankan perasaan mereka untuk Allah s.w.t. Mereka korbankan keselesaan hidup untuk Allah s.w.t. Ciri para Anbiya’ ini juga yang telah dizahirkan hamba-hamba Allah yang sholeh dalam perjalanan hidup mereka demi meraih secebis keredhaan Allah s.w.t. 

  • Namun apakah ciri-ciri pengorbanan para Anbiya’ ini yang boleh kita terapkan sehingga pengorbanan kita akan turut mengundang keredhaan Allah s.w.t. serta membuahkan manfaat yang berpanjangan?