Prinsip Agama Dalam Pemilihan Makanan Halal

  • Sebagai seorang Mukmin, kita berkeyakinan bahawa segala yang Allah (s.w.t.) larang, terdapat hikmah akan pengharamannya. Allah menetapkan beberapa batasan, demi memelihara kemaslahatan insan serta kebaikan masyarakat. Sebagaimana yang dinyatakan di dalam al-Quran, bahawa segala yang Allah halalkan merupakan perkara yang baik, dan Allah melarang daripada segala jenis keburukan. 
  • Panduan daripada al-Quran berkaitan pemakanan halal itu jelas bagi setiap individu Mukmin. Kita memahami bahawa pemilihan makanan merupakan tanggungjawab peribadi yang perlu diperhatikan setiap individu. Sepertimana setiap tuntutan agama seperti solat, zakat, puasa, merupakan satu tanggungjawab peribadi, begitu jugalah dalam pemilihan makanan yang halal. 
  • Di sinilah pentingnya kita menimba ilmu dan memahami prinsip-prinsip Syariah dalam hukum-hakam Islam. Kefahaman yang menyeluruh akan agama kita akan menjadikan kita seorang Muslim yang yakin dalam membuat penilaian yang tepat di mana sahaja kita berada.