Pengajaran daripada Surah Al Hujurat, Ketulusan Iman

  • Iman adalah sesuatu yang paling berharga bagi seorang Muslim.  Iman menjadikan hidup kita terpandu dan terarah, kerana dengan iman kita menyedari asal usul kewujudan kita dan matlamat terakhir kehidupan yang hendak kita tuju.  Iman menyediakan kita laluan hidup yang jelas dan lurus, sehingga kita tidak lemas dalam kegelapan tercari-cari arah tujuan yang tidak pasti. 

    Iman tidak hanya terikat pada ungkapan lisan dan tuturan kata semata-mata. Iman juga bukanlah sesuatu yang diukur daripada zahir penampilan dan sebagainya. Akan tetapi iman itu menuntut kita untuk menyemai kepercayaan yang utuh kepada Allah s.w.t. di dalam hati, pada waktu yang sama menterjemahkan keimanan melalui amalan dan perbuatan.