Amanah Menyediakan Penjagaan Di Sisi Islam

  • Memberi penjagaan (caretaking) ataupun istilahnya dalam Bahasa arab kafalah, merupakan perkara yang paling dasar di dalam Islam. Ia termasuk penjagaan mereka yang berada di bawah tanggungan kita, seperti anak isteri dan sebagainya. Akan tetapi penjagaan yang paling mencabar dan memerlukan kepada kesabaran yang luar biasa, adalah penjagaan yang diberi kepada mereka yang berada dalam keadaan yang lemah serta daif, seperti menjaga ahli keluarga yang sakit ataupun kurang upaya. Ia merupakan satu cobaan hidup dan juga ujian. Sepertimana yang di tegaskan oleh Nabi s.a.w. bahawa setiap individu sebenarnya perlu memainkan peranannya sebagai seorang penjaga bagi mereka yang berada di bawah penjagaannya.
  • Pada aspek yang lain, sekiranya sudah ada antara ahli keluarga kita yang sanggup mengorbankan masa, tenaga dan ruang untuk menjaga ahli keluarga, sama ada menjaga orang tua ataupun adik beradik yang kurang upaya dan sebagainya, kita seharusnya berusaha untuk meringankan sedikit bebanan mereka. Sama ada dengan terus memberikan sokongan, di waktu yang sama memastikan keperluan kewangannya stabil bagi menampung kos penjagaan dan rawatan ahli keluarga tersebut. Di waktu yang sama, pastikan kita terus memberi sokongan emosi, kerana menurut kajian, sokongan dari segi emosi adalah elemen terpenting dalam penjagaan. Ia dapat mengurangkan kebimbangan dan memberi semangat serta motivasi kepada mereka untuk menjalankan peranan penjaga dengan lebih berkesan.
  • Ingatlah dan sedarlah, apabila kita berjaya meringankan bebanan ahli keluarga kita, esok di akhirat, ketika matahari berada sejengkal di atas kepala, di saat itu Allah s.w.t. yang akan meringankan bebanan kita. Semoga Allah s.w.t. mengurniakan kepada kita taufiq serta inayahnya untuk memelihara hubungan antara ahli keluarga, dan semoga kita digolongkan tuhan dari golongan mereka yang membawa kesejahteraan dan ketenangan kepada kehidupan insan.