Mengenali Nama Tuhan Al-Fattah

  • Apabila seorang insan mengerti dan menerima nama-nama Allah itu sebagai pegangan, setiap langkah hidupnya penuh berani dan pasti. Baginya, kejayaan bukanlah sekadar mencapai apa yang dihasratkannya, tetapi yang lebih bermakna ialah kejayaan memperolehi keredhaan Allah di atas segala usaha, di mana setiap pekerjaan menjadi ibadat dengan ganjaran pahalanya.

     

     

  • Allah al-Fattah membuka pintu rahmat-Nya kepada sesiapa sahaja yang dikehendaki-Nya. Allah buka kesempatan untuk hamba-hamba-Nya memohon pengampunan, biar betapa besar atau banyak manapun dosa mereka. Allah buka pintu rezeki-Nya kepada semua, termasuk mereka yang engkar kepada-Nya.

     

     

  • Allah al-Fattah, Yang Maha Pembuka, mahu hamba-Nya juga berlapang dada dan bersifat terbuka. Berlapang dada dengan perbezaan yang ada, kerana memang begitulah fitrah yang Allah atur untuk makhluk-makhluk-Nya. Saling menghormati dan menghargai, sehingga mahu berganding bahu dan bekerjasama. Bersifat terbuka dengan segala ketentuan takdir Allah yang perlu diterima, mahupun ketetapan agama-Nya untuk dilaksana.