Kesejahteraan Masyarakat Bermula Daripada Kesejahteraan Keluarga

  • Al-Quran merupakan antara lain kitab pendidikan bagi jiwa yang beriman. Ini adalah kerana hampir semua unsur yang berkaitan dengan pendidikan disentuh secara tersurat ataupun tersirat oleh Al-Quran. Jika diperhatikan, Al-Quran telah banyak menghuraikan perihal-perihal kehidupan manusia khususnya pada kehidupan dan pengalaman para Nabi dan Rasul bersama ahli keluarga mereka.
  • Di dalam Al-Quran, terdapat beberapa potong ayat di mana Allah s.w.t. memuji hamba-hambaNya yang diberi gelaran sebagai عِبَادُ الرَّحْمَنِ (Hamba-hamba Allah Yang Maha Pemurah). Di antara ciri-ciri terpuji mereka adalah; mereka sering bermunajat dan memohon doa kepada Allah s.w.t. agar dianugerahkan kepada ahli keluarga mereka zuriat yang baik dan supaya mereka dikurniakan keupayaan untuk menjadi pemimpin yang bertakwa.
  • Sebagaimana kehidupan berkeluarga berpotensi menimbulkan kebahagiaan ia juga boleh menjadi wadah berlakunya pergeseran. Untuk itu ayat-ayat al-Quran yang menggariskan ciri-ciri orang yang bertakwa boleh dijadikan panduan dalam kehidupan berkeluarga.