A Singapore Government Agency Website

Office of the Mufti

Sifat Kemaafan Dan Keihsanan Terhadap Insan

  • Setiap insan pastinya mendambakan kehidupan bahagia dan harmoni di samping insan yang dikasihi dan sesama anggota masyarakat secara amnya. Ini merupakan sunnatullah yang dititikberatkan oleh agama. Sempena bulan Syawal ini, marilah kita terapkan akhlak mulia bagi memperkukuhkan tali persaudaraan sesama insan.

     

     

  • Sikap memberi kemaafan amat diperlukan, kerana dalam kita berinteraksi serta berurusan sesama yang lain, kita tidak terlepas daripada kesilapan. Sama ada yang kita sedari mahupun tidak. Ada masa kita yang tersilap, dan ada masa orang lain yang tersilap. Maka peranan kita meliputi dua hala, iaitu memohon dan memberi kemaafan.

     

     

  • Bermaaf-maafan dan menyebar ihsan pada musim lebaran menandakan sifat rahmah yang perlu diteruskan selepas Ramadan. Ini juga merupakan usaha kita untuk mengikut jejak langkah Nabi Muhammad (s.a.w.) sebagai rahmat buat semesta alam. Bagaimana Nabi (s.a.w.) merupakan insan yang paling baik hatinya. Sentiasa menerima sesiapa sahaja. Sentiasa sedia untuk memaafkan. Subhanallah! Tiada sekelumit dendam sekalipun di dalam hati Baginda. Ini yang seharusnya kita pupuk saudaraku.