Mengharapkan Kesejahteraan Dunia

  • Sebagai umat Islam, keimanan merupakan sumber kekuatan dan bekalan bagi menghadapi perjuangan ini. Ia memberikan kita harapan. Ia memberikan kita daya tahan dan kekuatan untuk mengatasi segala ujian. Ia menguatkan semangat kita untuk terus mengejar kebaikan. Ia meyakinkan kita akan bantuan Tuhan (an-nasr) selagimana kita tidak berputus asa daripada berusaha dan bergantung harap kepada-Nya, dan jika kita terus kekal di atas jalan-Nya.

     

     

  • Kita akur bahawa kita hidup dalam masa dan suasana yang sangat sukar, mencabar dan tidak menentu. Keadaan sekarang ini pula masih lagi mengkhuatirkan. Namun, di dalam kekhuatiran ini, masih lagi ada sebab untuk kita bersikap positif dan bersyukur. Di dalam kesederhanaan hidup dan perayaan juga, kita dapat menjalin silaturrahim dengan keluarga sebaik mungkin dan dengan penuh bertanggungjawab. Kita masih lagi dapat menikmati keistimewaan Syawal walaupun kurang kemeriahannya.

     

     

  • Pada masa yang sama, janganlah kita menjadi sebab untuk mengeruhkan lagi suasana dengan kata-kata yang boleh menyebarkan kebencian, perpecahan serta permusuhan. Orang yang beriman akan sentiasa bersikap adil dan menolak segala jenis keganasan dan permusuhan, tidak kira terhadap siapa sekalipun. Marilah pada saat-saat mustajab ini, kita merendahkan hati kita untuk memohon dan berdoa kepada Allah (s.w.t.), semoga Allah (s.w.t.) mengurniakan dunia ini dengan keamanan dan melenyapkan segala kekejaman dan kezaliman.