Mengelak Pembaziran Tanda Syukur Kepada Tuhan

  • Perkara ini telahpun ditekankan oleh Nabi Muhammad (s.a.w.) sendiri. Diriwayatkan dalam sebuah hadis bahawa, “Pada suatu ketika, Nabi (s.a.w.) lalu di suatu kawasan dan melihat Sa’ad sedang berwuduk, lalu Baginda bersabda: “Pembaziran apakah ini?” Maka Sa’ad menjawab: “Adakah pada wuduk juga terdapat pembaziran?” Lalu, baginda pun menjawab: “Ya, sekalipun kamu berada di sungai yang mengalir” (Hadis riwayat Ibn Majah).

  • Setiap yang hidup di atas muka bumi ini pasti memerlukan air sama ada secara langsung ataupun tidak. Sumber-sumber makanan seperti sayur-sayuran, binatang ternakan dan lain-lainnya, segalanya memerlukan kepada air untuk terus menjalankan kehidupan. Justeru, nikmat air ini perlu diperlihara dengan baik.

  • Pada minggu ini, Singapura telah menyaksikan sambutan Hari Air Sedunia ataupun lebih dikenali sebagai “Singapore World Water Day” di mana ia bertujuan untuk menarik perhatian masyarakat ramai akan kepentingan untuk menjaga air bersih dan berjimat ketika menggunakannya. Sebagai seorang Muslim, usaha yang terpuji ini patut dipraktikkan dan diraikan kerana ia merupakan Sunnah Nabi (s.a.w.).