Mencapai Ketenangan Bersama Allah Dengan Berdoa

  • Dalam mengejar kesibukan urusan dunia kita, ia kadangkala boleh menjejas ketenteraman jiwa dan minda. Kita melihat bagaimana sebahagian insan di zaman ini menghadapi pelbagai cabaran disebabkan tekanan kehidupan dunia. Walaupun dari sudut raut wajah, mereka kelihatan sihat dan normal, tetapi jauh di dalam jiwanya sebahagian insan merasakan kesedihan dan kemuraman. Justeru itu adalah penting bagi kita untuk mengamalkan aktiviti-aktiviti sihat yang bertindak sebagai saluran untuk menghilangkan tekanan-tekanan tersebut. Ada diantara kita yang mencari ketenangan melalui aktiviti sukan, beriadah, ada pula dengan meluangkan masa bersama teman dan keluarga.

  • Namun saudara, pernahkah kita terfikir sejenak untuk turut menjadikan doa sebagai sebuah wadah untuk menyalurkan segala keluhan dan tekanan kita? Tujuan berdoa -antaranya- adalah untuk membangun keyakinan kita terhadap segala aturan Allah s.w.t. Ia juga memberi keinsafan kepada diri bahawa kita hanyalah manusia yang lemah yang memerlukan kepada bantuan dan pertolongan daripada Allah s.w.t. Adakalanya kita risau apabila tuntutan urusan dunia tidak dapat dilaksanakan dengan sebaiknya. Ada juga yang bersedih kerana usaha dan hasil yang dilaksanakan tidak seperti apa yang diinginkan.

  • Apabila kita berdoa serta bermohon kepada Allah s.w.t. ia membuatkan jiwa kita merasa tenang dan tenteram. Sebenarnya manusia tidaklah berada dalam keadaan bersendirian dan kesunyian, malah Allah s.w.t. sentiasa hampir dan mendengar keluhan rintihan hamba-hamba-Nya. Apabila kita mencari kedamaian bersama Allah s.w.t., pastinya setiap perkara yang dirancang akan turut menyusul dengan baik dan damai.