Mempertimbangkan Adat Baik dan Buruk

  • Apabila kita meneliti sirah dan sunnah Rasulullah s.a.w., kita akan mendapati bahawa Rasulullah s.a.w menerima sebahagian adat orang-orang pada zamannya yang selari dengan prinsip ajaran Islam, dan dalam masa yang sama juga Rasulullah s.a.w. melarang para sahabat daripada melakukan sebahagian adat yang bertentangan dengan ajaran Islam.

  • Terdapat pepatah yang mengatakan “Adat bersendi syarak, syarak bersendi kitabullah”. Ia bererti bahawa pergaulan di dalam masyarakat hendaklah sesuai dengan adat dan syarak. Initipati pepatah ini bersesuaian dengan prinsip ajaran Islam yang menggariskan bahawa adat yang bertepatan dengan nas-nas syarak dan prinsip-prinsip ajaran Islam termasuk di dalam kategori adat yang boleh diterima.

  • Terdapat juga peribahasa Melayu yang berbunyi, “Adat memakai, syarak mengata”. Ertinya, adat yang tidak sesuai dengan hukum Tuhan dan tidak selaras dengan keadaan masa tidaklah guna dipertahankan, kerana adat harus takluk kepada hukum syarak. Makna peribahasa ini selari dengan prinsip ajaran Islam yang menolak adat-adat yang bertentangan dengan nas-nas syarak serta prinsip-prinsip ajaran Islam.